PRK Kemaman: 43 tahun dalam tentera, mudahkan calon BN dekati, fahami keperluan anak muda
Bernama
November 22, 2023 06:45 MYT
November 22, 2023 06:45 MYT
CHUKAI: Pengalaman sepanjang 43 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia tidak disia-siakan calon Barisan Nasional(BN) Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor untuk mendekati dan memahami keperluan golongan muda di kawasan Parlimen Kemaman.
Bekas Panglima Angkatan Tentera yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman berkata masa yang panjang itu membuatkan beliau amat cakna terhadap keperluan golongan belia kerana sering menyantuni golongan berkenaan semasa berkhidmat.
"Pertemuan saya dengan pengundi muda nampaknya ada penerimaan positif kerana saya semasa jadi panglima, kita secara langsung dan tak langsung terlibat dengan orang muda kerana yang masuk dalam tentera ini ada yang berumur 18 tahun jadi kita tahu apa dikehendaki dan perlu dipersiapkan untuk mereka.
"Bagi saya di Kemaman ini kita boleh cari kaedah untuk memperbanyakkan tempat mereka untuk meredakan tekanan. Apa yang ada sekarang padang bola dan gelanggang futsal, sedangkan sekarang anak muda suka lasak, jadi ini saya simpan sebagai nota sekiranya saya diberi mandat itu antara perkara penting yang jadi agenda utama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan program ziarah kasih di sekitar Hospital Kemaman, di sini, semalam.
Seawal pagi semalam, Raja Mohamed Affandi turut mengadakan majlis ramah mesra dengan golongan penjawat awam di Wisma Persekutuan dan pejabat Jabatan Kerja Raya Kemaman.
PRK itu yang ditetapkan 28 Nov ini dan 2 Dis ini masing-masing bagi pengundian awal dan hari mengundi menyaksikan beliau berhadapan pertembungan satu lawan satu dengan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.
Raja Mohamed Affandi sementara itu turut melahirkan rasa syukur kempen PRK Kemaman berlangsung dengan baik tanpa provokasi dan berharap situasi itu berkekalan sehingga hari pengundian.
"Saya lihat dan baca PRK kali ini tenang, harap begitulah kerana kita tumpu kepada kualiti apa yang akan kita buat bukan provokasi dan sebagainya dan saya harap ia kekal seperti itu sehingga kita beri ruang kepada pengundi di Kemaman untuk menentukan siapa yang mereka hendak jadi wakil mereka di Parlimen," katanya.
-- BERNAMA
#PRK Kemaman
#Barisan Nasional
#Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor
#Bekas Panglima Angkatan Tentera