PRK K.Kangsar: Peratusan keluar mengundi 71 peratus, gagal capai sasaran

Bernama
Jun 18, 2016 18:54 MYT
Calon Barisan Nasional Datin Mastura Mohd Yazid (dua, kanan) membuang undi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Raja Perempuan Muzwin bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Kangsar hari ini. - Foto BERNAMA
Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar sehingga semua 23 pusat pengundian ditutup tepat 5 petang tadi adalah sebanyak 71 peratus.
Pegawai Pengurus PRK Kuala Kangsar Mior Muhammad Jamil Mior Zakaria peratusan berkenaan adalah rendah berbanding sasaran 75 peratus yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk PRK Kuala Kangsar.
"Peratus ini rendah mungkin disebabkan ramai pengundi luar yang tidak balik untuk mengundi memandangkan sekarang bulan Ramadan," katanya ketika dihubungi Bernama.
Semasa Pilihan Raya Umum ke-13, peratusan keluar mengundi di Parlimen Kuala Kangsar adalah 84.3 peratus.
Beliau berkata peratusan keluar mengundi sebanyak 71 peratus itu merangkumi pemilih biasa dan pengundi awal yang telah menunaikan tanggungjawab mereka pada 14 Jun lepas.
Katanya terdapat 32,949 pemilih berdaftar layak mengundi bagi PRK Kuala Kangsar dengan 32,632 merupakan pengundi biasa, 312 (pengundi awal) dan lima lagi pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.
"Kertas undi bagi pengundi tidak hadir yang diterima akan dikira di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Jubli Perak," katanya.
PRK Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Datin Mastura Mohd Yazid, Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli (Parti Amanah Negara) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (Bebas).
Ia diadakan serentak dengan PRK kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor susulan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas sama.
#keluar mengundi #peratusan #PRK #SPR #Sungai Besar Kuala Kangsar
;