PRK Jepak: Sudah ada beberapa nama calon dari PBB - Nanta Linggi
Bernama
September 25, 2023 17:54 MYT
September 25, 2023 17:54 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) sudah mempunyai beberapa nama untuk diketengahkan sebagai calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Setiausaha Agung PBB Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bagaimanapun enggan mendedahkan nama-nama berkenaan, dan berkata pemilihan calon yang paling sesuai antara mereka akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti nanti.
"Kita ada beberapa orang nama, tetapi mereka yang sesuai akan dipilih oleh pucuk pimpinan parti...yang pasti calonnya adalah daripada PBB kerana kerusi (DUN Jepak) itu milik parti PBB," kata beliau yang juga Menteri Kerja Raya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Projek Kompleks Dewan Bedah, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad tambahan Hospital Kuala Lumpur di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam mesyuarat khas hari ini menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi DUN Jepak, Sarawak pada 4 Nov depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 21 Okt dan 31 Okt.
PRK Dun Jepak diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip akibat komplikasi buah pinggang pada 15 Sept lepas. Talib, 72, adalah penyandang kerusi itu selama enam penggal sejak 1996.
Sementara itu Nanta yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata kempen bagi PRK itu akan dijalankan bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan atas semangat setia kawan.
"Saya ingat cara berkempen itu tidak akan menjadi masalah sebab kita dah bersama dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan dan hasil persefahamannya juga saya harap dapat ditunjukkan dalam PRK DUN Jepak ini," katanya.
-- BERNAMA