PRK Jepak: Proses pengundian berjalan lancar - Pengerusi SPR
Bernama
November 4, 2023 14:01 MYT
November 4, 2023 14:01 MYT
BINTULU: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini dilaporkan setakat tengah hari ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
"Semua pengundi juga telah menjalankan proses pengundian dengan baik dan tiada gangguan oleh mana-mana pihak, keadaan tenang dan aman," katanya selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu, di sini hari ini.
Dalam pada itu Abdul Ghani menyeru pengundi agar keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
"Saya menyeru semua pengundi agar dapat keluar mengundi supaya kita mampu mencapai sasaran 65 peratus keluar mengundi bagi PRK ini. Sasaran ini tidak mustahil kerana kita lihat cuaca juga baik," katanya.
Setakat 1 tengah hari, peratusan keluar mengundi merekodkan sebanyak 37 peratus.
PRK DUN Jepak menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.
-- BERNAMA