PRK Jepak: Manifesto GPS tawar 14 aku janji
Bernama
Oktober 29, 2023 18:35 MYT
Oktober 29, 2023 18:35 MYT
BINTULU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini melancarkan manifestonya untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak yang mengandungi tawaran pembangunan prasarana serta sosioekonomi buat penduduk kawasan itu.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan melancarkan manifesto itu yang menggariskan 14 teras utama.
Awang Tengah yang juga Pengarah Pilihan Raya GPS Jepak berkata antara tawaran itu termasuk menyediakan rumah mampu milik, memperbanyak skim penempatan semula, pembesaran kampung serta baik pulih dan bantuan pembinaan rumah panjang.
Tawaran lain seperti menyediakan prasarana, latihan keusahawanan kepada golongan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS), peniaga serta penjaja.
"Manifesto ini ialah komitmen dan tekad kami. Ini bukan cakap kosong seperti yang dilakukan oleh calon lawan.
Awang Tengah berkata GPS bukannya "bertanam tebu di bibir" tetapi akan pastikan aku janji dan komitmen dalam manifesto itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.
PRK DUN Jepak pada 4 Nov ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.
-- BERNAMA