PRK Jepak: Jangan hiraukan pujukan untuk tidak keluar mengundi - Awang Tengah
Bernama
Oktober 31, 2023 04:45 MYT
Oktober 31, 2023 04:45 MYT
BINTULU: Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak diingatkan supaya tidak menghiraukan pujukan pihak tertentu supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu atas alasan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memenangi PRK berkenaan.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mendedahkan perkara berkenaan pada Selasa berkata, cubaan untuk mengelirukan pengundi itu boleh menjejaskan peratusan turun mengundi dalam PRK itu.
"(Mesej meminta pengundi tidak mengundi) itu sudah ada yang tular (mengatakan) GPS akan menang. (Pengundi) tak payah turun mengundi pun akan menang
Tapi kalau semua penyokong GPS tak turun mengundi, macam mana juga nak menang," katanya ketika ditemui pemberita selepas berkempen di Kampung Hilir Kuala Tatau, kira-kira 50 kilometer dari sini.
PRK DUN Jepak diadakan setelah penyandang kerusi itu, Datuk Talib Zulpilip daripada GPS meninggal dunia pada 15 Sept lepas.
PRK itu melibatkan pertandingan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing .
GPS merupakan gabungan parti melibatkan PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Dalam pada itu, Awang Tengah yang juga Timbalan Premier Sarawak, menyelar pihak tertentu yang cuba menganjurkan aktiviti perjudian bagi meramalkan keputusan PRK itu.
Katanya, perbuatan itu seperti mempersendakan sistem demokrasi dan boleh menggugat usaha GPS untuk mencatatkan kemenangan besar dalam PRK berkenaan.
"(PRK) ini bukan satu perjudian. Ini adalah untuk menentukan masa depan kita. Ini perkara yang begitu serius," katanya. - BERNAMA