PRK Jepak: GPS yakin tapi tidak ambil mudah cabaran - Awang Tengah
Bernama
Oktober 21, 2023 13:54 MYT
Oktober 21, 2023 13:54 MYT
BINTULU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin mampu meraih kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, namun tidak mengambil mudah cabaran parti lawan.
Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi GPS yang baik di kawasan itu sebelum ini.
"Kemenangan (di Jepak) ini juga penting bagi meneruskan apa yang telah dirancang penyandang sebelum ini. Kita harap pengundi juga dapat melihat kepada rekod kerja Premier (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) yang telah berjaya membawa pembangunan baik dari segi kemudahan asas, ekonomi dan sosial," katanya.
Awang Tengah yang juga Pengarah Pilihan Raya GPS bagi PRK itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon bagi PRK itu di Dewan Suarah Bintulu di sini hari ini.
PRK DUN Jepak menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon GPS Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.
PRK DUN Jepak pada 4 Nov ini diadakan susulan kematian penyandang kerusi berkenaan Datuk Talib Zulpilip pada 15 Sept lepas.
DUN Jepak mempunyai 22,804 pemilih yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.
GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
-- BERNAMA