PRK Jepak: GPS pilih bekas Pengarah AADK sebagai calon
Bernama
Oktober 18, 2023 18:54 MYT
Oktober 18, 2023 18:54 MYT
BINTULU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) hari ini mengumumkan bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Iskandar Turkee, 54, sebagai bakal calon mereka untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini.
Beliau berkata Iskandar dipilih gabungan itu, berdasarkan kemampuan serta pengalamannya yang luas dalam kegiatan sosial masyarakat.
"Kesungguhan beliau juga boleh dilihat, apabila sanggup meninggalkan jawatannya (sebagai pengarah AADK) untuk berkhidmat untuk rakyat di Jepak.
"Walaupun ini hanya pilihan raya kecil, tapi bagi saya keputusan PRK ini besar (signifikan), untuk membuktikan sokongan rakyat kepada GPS untuk terus menerajui Sarawak," katanya.
Sebelum ini Parti Bumi Kenyalang (PBK), sebuah parti pembangkang tempatan menamakan bekas anggota polis Stevenson Sumbang, sebagai calon mereka untuk PRK yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip dari GPS, pada 15 Sept lepas.
Sebuah lagi parti pembangkang tempatan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (SAPA) pula mengumumkan seorang ahli perniagaan Chieng Lea Ping, 64, sebagai calon mereka.
Allahyarham Talib menyandang kerusi DUN Jepak selama enam penggal sejak 1996.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon untuk PRK itu, dengan 31 Okt untuk pengundian awal dan 4 Nov sebagai hari pengundian.
-- BERNAMA