PRK Jepak: 37 peratus keluar mengundi setakat 1 tengah hari

Bernama
November 4, 2023 13:25 MYT
Calon GPS Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Iskandar Turkee bersama isteri, Dayang Loha Awang Sahari (kanan) bergambar kenangan bersama pengundi selepas mengundi di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan. - Foto Bernama
BINTULU: Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak mencatatkan 37 peratus setakat 1 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Tinjauan mendapati proses pengundian di 14 pusat mengundi yang dibuka sejak 7.30 pagi tadi berjalan lancar dalam keadaan cuaca yang baik.
Sebanyak 11 pusat pengundian akan ditutup pada 5.30 petang ini manakala tiga lagi pada 4 petang.
Proses penjumlahan rasmi undi akan dilakukan di Dewan Suarah di sini.
Jumlah keseluruhan pengundi di DUN itu ialah 22,804 orang yang terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.
Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Bintulu diramal mengalami ribut petir di beberapa kawasan pada sebelah petang manakala hujan di beberapa tempat pada sebelah malam.
PRK DUN Jepak menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Iskandar Turkee, calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang dan calon Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) Chieng Lea Phing.
-- BERNAMA
#PRK Jepak #peratusan keluar mengundi #pilihan raya kecil #Suruhanjaya Pilihan Raya
;