PRK: Jangan pilih calon yang 'jauhkan' Pelangai - Mohamed Khaled

Bernama
Oktober 1, 2023 04:45 MYT
Mohamed Khaled yakin BN berupaya mempertahan kerusi DUN Pelangai berdasarkan maklum balas positif masyarakat di kawasan itu. - Foto fail/BERNAMA
BENTONG: Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dinasihat agar tidak memilih wakil rakyat yang 'menjauhkan' kawasan itu dengan agenda kerajaan.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemilihan wakil rakyat yang mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri dan persekutuan akan menjadi penghubung kepada pelaksanaan program serta dasar kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat di Pelangai.
"Dari aspek geografinya, Pelangai adalah kawasan yang jauh dengan pusat pentadbiran negeri di Kuantan serta Putrajaya.
"Jadi, kalau dah dalam keadaan sedemikian, biarlah jarak sahaja menjadi pemisah, jangan pilih wakil rakyat yang semakin menjauhkan lagi Pelangai dengan kerajaan," kata Menteri Pendidikan Tinggi itu kepada pemberita di Program Semarak Siswa MADANI Pahang di Dataran Simpang Pelangai pada Ahad.
PRK DUN Pelangai pada 7 Okt ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amizar Abu Adam, calon Perikatan Nasional Kasim Samat dan calon Bebas Haslihelmy DM Zulhasni.
Mohamed Khaled juga yakin BN berupaya mempertahan kerusi DUN Pelangai berdasarkan maklum balas positif masyarakat di kawasan itu terhadap kempen gabungan politik tersebut setakat ini.
"Sambutan pengundi memuaskan dan saya percaya mereka tahu serta bijak memilih siapa yang layak mewakili mereka namun ia bukan tiket jentera kita berasa selesa, kita akan pastikan jentera sentiasa terus bekerja keras sehingga detik akhir kempen," katanya.
-- BERNAMA
#agenda kerajaan #maklum balas positif #calon Barisan Nasional #PRK Pelangai
;