PRK: Hujan lebat tidak halang pengundi bekerja di Singapura tunai tanggungjawab
Bernama
September 9, 2023 12:29 MYT
September 9, 2023 12:29 MYT
JOHOR BAHRU: Hujan lebat pagi ini tidak menjadi penghalang buat seorang pengundi yang bekerja di Singapura menunaikan tanggungjawabnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai hari ini.
C.Tamill, 57, yang merupakan jurutera kilang besi di republik itu, terpaksa bergegas ke pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Indah, di sini, kerana beliau perlu masuk kerja pada 2 petang ini.
"Saya selesai mengundi pada 9 pagi tadi, tidak sangka pula hujan lebat dan baju hujan pula terlupa bawa.
"Pada Sabtu dan Ahad kebiasaannya saya ambil kerja lebih masa, sebab itu saya bersiap awal pagi dan pergi mengundi dahulu sebelum masuk kerja petang ini. Mengundi memang kewajiban, jadi ada sahaja waktu terluang saya pergi cepat-cepat," katanya yang tinggal di Taman Nusa Bestari kepada Bernama ketika ditemui di pusat mengundi itu.
Bapa dua anak itu yang bekerja di Singapura lebih 10 tahun dengan menaiki motosikal, turut berharap wakil rakyat yang terpilih nanti dapat menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik.
Pegawai kewangan syarikat swasta di Singapura, Tan Hui Huan, 45, pula berkata beliau tiada halangan untuk mengundi hari ini memandangkan Sabtu dan Ahad adalah hari cutinya.
"Saya sudah bekerja di Singapura lebih 20 tahun dan sepanjang tempoh itu saya tidak pernah terlepas mengundi. Hari ini hujan lebat dan saya pula perlu bawa sekali ibu untuk mengundi, nasib baik petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bantu bawa payung dan iringi kami ke dalam," katanya.
Ibu empat anak itu pada masa sama mengharapkan agar wakil rakyat yang terpilih dapat membantu meningkatkan ekonomi masyarakat di situ.
Sementara itu, warga emas Na Ah Moy, 70, yang berkerusi roda kerana menghidap kencing manis, juga tidak melepaskan peluang untuk mengundi pada 9 pagi tadi.
"Saya tidak pernah terlepas mengundi sejak dulu lagi, cuma kali ini saya tidak dapat berjalan kerana kaki sebelah kiri telah dipotong tahun lepas akibat kencing manis.
"Namun, saya berazam pada pilihan raya akan datang saya hendak berjalan kaki dengan menggunakan bantuan alatan berjalan," katanya.
Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati pengundi bertali arus di pusat mengundi terbesar di Parlimen Pulai itu meskipun hujan lebat, dengan petugas SPR bertindak pantas dan tidak menang tangan membawa payung mengiring pengundi.
-- BERNAMA