PRK: Gelombang PN sudah sampai ke Johor - Sanusi

Sinar Harian
Ogos 24, 2023 10:40 MYT
Sanusi ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Markas Pas Bakri pada Rabu. - Foto Sinar Harian
MUAR: Kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan menjadi bukti penularan gelombang Perikatan Nasional (PN) di Johor.
Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penularan itu sekali gus menjadi isyarat penting terhadap kebangkitan rakyat terutamanya berdasarkan kepada prestasi PN yang cemerlang dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
"Gelombang PN sudah sampai ke selatan tanah air. Gelombang ini sampai ke Johor... masuk ikut Muar dan akan sampai ke Johor Bahru... kalau Singapura pun pilihan raya, kita ambil sekali.
"Aura kemenangan yang bakal berlaku di Simpang Jeram dan Pulai adalah penentu sebagai isyarat penting kebangkitan rakyat di negeri ini.
"Namun, apa yang penting adalah rakyat perlu menghentikan kerakusan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat negara ini," katanya.
Sanusi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengisytiharan Calon PN bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Markas Pas Bakri pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan berikutan penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub meninggal dunia dunia pada 23 Julai lalu.
Sementara itu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Shahrudin Jamal berkata, hasil kajian mendapati lebih 80 peratus orang Melayu dan kira-kira lima peratus (bukan Melayu) memberikan sokongan kepada PN pada PRN baru-baru ini.
Malah katanya, kemenangan PN adalah hasil kerja keras daripada semua jentera sama ada dari Johor mahu pun jentera serta rakan-rakan seperjuangan di seluruh negara.
"Oleh yang demikian, kita harus bekerja keras tanpa mengira masa sama ada siang atau malam dengan mengembeleng tenaga untuk bertemu secara dekat kira-kira 40,379 pengundi berdaftar," katanya. - Sinar Harian
#Muhammad Sanusi Md Nor #pilihan raya negeri
;