PRK DUN Tanjong Datu pada 18 Feb
Tan Su Lin
Januari 19, 2017 14:06 MYT
Januari 19, 2017 14:06 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mengumumkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, Sarawak pada 18 Februari ini.
Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Februari sementara pengundian awal akan diadakan pada 12 Februari 2017.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh dan persiapan PRK DUN Tanjong Datu di pejabatnya di sini, sebentar tadi.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 13 hari.
Kos keseluruhan bagi mengadakan PRK berkenaan adalah sebanyak RM997,919.
Sementara itu, seramai 250 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya.
Seramai 9,959 pemilih layak mengundi pada PRK itu dengan 9,771 pengundi biasa dan 188 orang pemilih awal terdiri daripada tentera, polis, PGA dan pasangan mereka.
Kerusi DUN Tanjong Datu kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari, lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 pada Mei tahun lepas, Adenan yang menyandang kerusi Tanjong Datu sejak PRN 2006 mendapat 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan yang meraih 468 undi, dengan majoriti 5,892 undi.