PRK DUN Sungai Bakap: KDN Jamin keselamatan pengundi, 600 polis dikerah bertugas
Dewi Nur Harasha Alias
Jun 16, 2024 13:00 MYT
Jun 16, 2024 13:00 MYT
NIBONG TEBAL: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan aspek keselamatan berada pada tahap tertinggi sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, 6 Julai ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sejumlah 600 pegawai dan anggota polis akan bertugas sepanjang tempoh PRK bagi memastikan keselamatan semua pihak.
Menurut Saifuddin, beliau telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad dan pasukannya mengenai aspek keselamatan yang merangkumi tiga fasa dari sekarang hingga hari pengundian.
Kata beliau, ia melibatkan persiapan dari segi logistik dan kekuatan tenaga kerja yang diperlukan seterusnya pengumpulan maklumat dari segi pergerakan calon.
“Anggota kekuatan sekarang adalah 600 dan dianggap yang munasabah. Pada masa sama, kita juga akan menasihati semua pihak terlibat supaya mematuhi undang undang dalam negara kita supaya perjalanan semasa kempen itu tidak berlaku perkara-perkara yang dianggap mencetuskan ketidaktenteraman awam,” kata beliau.
Saifuddin berkata demikian kepada media selepas majlis perjumpaan bersama masyarakat India di Sungai Bakap, di sini, pada Ahad.
Justeru, Saifuddin berkata, pengundi Sungai Bakap tidak perlu bimbang dan takut untuk menunaikan kewajipan mereka sebagai pengundi.
“Pemilih di Sungai Bakap tidak perlu ada kebimbangan dari sudut keselamatan sebab pilihan raya ini satu pesta demokrasi yang tak boleh ada elemen yang boleh disebutkan sebagai pencetus kebimbangan, itu fasal kedua.
“Fasal ketiga pada hari pengundian itu sendiri supaya pemilih dapat keluar beramai ramai menunaikan tanggungjawab mereka di semua pusat pengundian yang telah ditetapkan,” jelas beliau lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom dilaporkan berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.
Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.