PRK DUN Semenyih: Muhyiddin nafi berkempen pada hari mengundi

Arfa Yunus
Mac 2, 2019 14:13 MYT
Muhyiddin menggesa pihak yang membuat dakwaan itu untuk mengemukakan bukti jika ia benar-benar berlaku. -Gambar fail
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan beliau menjalankan aktiviti berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih yang berlangsung pada Sabtu.
Sambil menyifatkannya sebagai tohmahan, Muhyiddin menggesa pihak yang membuat dakwaan itu untuk mengemukakan bukti jika ia benar-benar berlaku.
“Tidak berlaku. Kalau sesiapa mendapati saya melanggar (peraturan), mereka tahu di mana mereka harus buat laporan.
“Ini semua tohmahan kerana ini bukan kali pertama saya (terlibat dalam pilihan raya). Saya sudah urus pilihan raya dalam tempoh 40 tahun.
“Ini bermakna apa yang saya lakukan dahulu, saya lakukan sekarang. Saya tidak berkempen hari ini. Semalam pun saya tak turun kempen,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian susulan dakwaan beberapa pihak yang mengatakan Muhyiddin telah melanggar peraturan pilihan raya dengan berkempen pada hari pengundian.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri memaklumkan bahawa setakat jam 1 tengah hari, 50 peratus pengundi Semenyih telah keluar mengundi.
Tambahnya, ketika ini tiada kejadian tidak diingini berlaku yang boleh mengganggu perjalanan pilihan raya.
“Ada provokasi di satu dua tempat sahaja dan hanyalah kecil. Pihak keselamatan terus memantau keadaan dan setakat ini semuanya berjalan lancar” katanya lagi.
#aktiviti berkempen #langgar peraturan pilihan raya #Muhyiddin Yassin #pilihan raya kecil #PRK DUN Semenyih
;