PRK DUN Mahkota: Tengku Zafrul optimis undi awal berpihak kepada BN

Bernama
September 23, 2024 04:10 MYT
Tengku Zafrul (tengah) menyantuni penduduk setempat ketika mengadakan tinjauan mesra sempena Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Mahkota di sekitar kawasan Kampung Melayu Dua, Kluang, 23 Sept 2024. --fotoBERNAMA
KLUANG: Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz optimis undi awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata ini kerana BN meletakkan calon yang berkualiti, berkredibiliti dan berpengalaman berkhidmat di DUN Mahkota.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra sempena PRK itu di Kampung Melayu Dua di sini semalam.
Calon BN Syed Hussien Syed Abdullah adalah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang dan Ahli Majlis Perbandaran Kluang Zon Seri Impian selain aktif dalam pelbagai kegiatan belia serta kesukarelawanan menerusi badan bukan kerajaan.
Proses pengundian awal PRK DUN Mahkota hari ini, yang membabitkan 4,510 tentera dan pasangan serta 401 polis, akan berlangsung dari 8 pagi hingga 5 petang.
Tiga pusat mengundi dibuka iaitu di Dewan Mahkota yang terletak dalam Kem Mahkota, Dewan Pengaman Zamrud Taman Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang dan Sekolah Kebangsaan Sultan Sir Ibrahim.
PRK DUN Mahkota, yang diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas, menyaksikan pertembungan antara Syed Hussien dengan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar.
-- BERNAMA
#PRK Mahkota #undi awal #Barisan Nasional #Tengku Zafrul
;