PRK DUN Mahkota: DAP bantu kempen calon UMNO

Sinar Harian
Ogos 24, 2024 14:45 MYT
Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, DAP akan membantu rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan. - Gambar fail/Bernama
PASIR GUDANG: DAP akan membantu calon UMNO yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching berkata, DAP akan membantu rakan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu menambah, DUN Mahkota juga berada di bawah Parlimen Kluang yang disandang Wong Shu Qi iaitu wakil rakyat daripada DAP.
Beliau berharap, kempen PRK berkenaan tidak akan dicemari dengan isu-isu yang menyentuh raja, agama dan kaum (3R).
"Setiap PRK dan pilihan raya umum (PRU) saya akan bagi nasihat yang sama (jangan mainkan isu 3R), saya ulang dan ulang lebih daripada satu kali.
"Sebelum menjadi ahli politik, kita jadi warganegara terlebih dahulu, jadi jagalah keharmonian masyarakat kita.
"Dalam bulan Ogos ini yang merupakan bulan sambutan Hari Kebangsaan dan September ini pula sambutan Hari Malaysia, sila jaga keharmonian dalam masyarakat kita," katanya.
Timbalan Menteri Komunikasi itu berkata demikian pada program Johor Jaya Run 2024 di pekarangan Dewan Raya Bandar Seri Alam di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung; ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng; ADUN Jementah, Ng Kor Sim dan ADUN Senai, Wong Bor Yang.
Polis sebelum ini memaklumkan menerima puluhan laporan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana didakwa menyentuh isu 3R ketika berkempen bagi PRK DUN Nenggiri baru-baru ini.
Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, dilaporkan berkata, siasatan terhadap Ahli Parlimen Pagoh itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
Muhyiddin kemudiannya dirakam percakapannya mengenai perkara itu dan beliau dilaporkan menyerahkan beberapa dokumen kepada polis termasuk akuan bersumpah (SD) yang menyokongnya untuk menjadi Perdana Menteri pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.
Berkenaan Muhyiddin, Nie Ching yang juga Ketua Wanita DAP berkata, pihaknya menyerahkan kepada peguam negara untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap bekas perdana menteri itu.
Beliau berharap perkara yang sama iaitu menyentuh isu 3R tidak akan dimainkan dalam PRK DUN Mahkota nanti. -- Sinar Harian
#PRK DUN Mahkota #DAP bantu UMNO #Teo Nie Ching #Kerajaan Perpaduan