PRK DUN Mahkota: Calon BN pasti diterima pengundi - Zambry

Bernama
September 2, 2024 20:55 MYT
Zambry mengesahkan telah menerima beberapa cadangan nama untuk dipertimbangkan termasuk tiga nama daripada sayap Wanita UMNO, Pemuda dan bahagian parti itu. - Gambar fail/Bernama
KEPALA BATAS: Calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor pasti merupakan calon yang dapat diterima oleh pengundi kawasan berkenaan, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO mengesahkan telah menerima beberapa cadangan nama untuk dipertimbangkan termasuk tiga nama daripada sayap Wanita UMNO, Pemuda dan bahagian parti itu.
Bagaimanapun beliau berkata gabungan parti itu belum memuktamadkan calon dan akan diumumkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam masa terdekat.
"Jadi, semua nama-nama itu akan dikumpulkan dan akan diumumkan oleh Pengerusi BN. Calon yang diputuskan itu adalah setelah diadakan perbincangan di peringkat kepimpinan.
"Mustahaknya ialah seperti mana yang kita sebutkan bahawa calon itu akan mewakili BN dan yang keduanya ialah calon yang dapat diterima oleh pengundi-pengundi di luar sana. Tentunya calon-calon yang ada di kawasan berkenaan (DUN Mahkota)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Global Trends in Engineering, Science and Technology Congress 2024 (GTEST2024) di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata sayap itu telah menyerahkan tiga nama kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan menjadi calon bagi kerusi DUN Mahkota.
Kerusi DUN Mahkota kosong selepas penyandangnya Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 2 Ogos lepas.
Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.
-- BERNAMA
#Wanita UMNO #Barisan Nasional #PRK Mahkota #cadangan nama