PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, penamaan calon 27 April

Faida Rahim
April 4, 2024 12:22 MYT
Hari pengundian awal ditetapkan pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu akan diadakan pada 11 Mei 2024 pada Sabtu.
Perkara ini diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh sebentar tadi.
"Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan di N06 Kuala Kubu Bharu Selangor adalah daftar pemilih terkini sehingga Februari 2024 yang dikemas kini hingga 25 Mac 2024 yang mengandungi seramai 40,226 orang pemilih.
"PRK N06 Kuala Kubu Bharu Selangor memerlukan peruntukan 2.5 juta. Tarikh- tarikh penting bagi Pilihan Raya Kecil N06 Kuala Kubu Bharu Selangor adalah seperti berikut.
"Tarikh writ 4 April 2024 hari Khamis, hari penamaan calon 27 April 2024 hari Sabtu, hari mengundi awal 7 Mei 2024 Selasa, hari mengundi pada 11 Mei 2024 hari Sabtu," katanya.
SPR membincangkan urusan dan tarikh-tarikh penting untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, sedang berlangsung di Menara SPR pada pagi ini.
Mesyuarat dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh bermula jam 10 pagi itu antaranya bagi menentukan tarikh-tarikh penting PRK berkenaan seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, dan daftar pemilih yang akan digunakan, serta persiapan lain.
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Pengerusi SPR, Azmi Sharom dan Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak.
Sementara itu, urusan permohonan semua kategori undi pos luar dan dalam negara bagi PRK N06 Kuala Kubu Baharu Selangor dibuka bermula 4 April 2024.
Tarikh tutup permohonan bagi petugas pilihan raya, pegawai pilihan raya, anggota polis, dan petugas media adalah pada 26 April 2024.
Bagi warganegara Malaysia yang berada di luar negara, tarikh tutup permohonan adalah pada 15 April 2024, manakala bagi agensi dan organisasi pula, tarikh tutup permohanan adalah pada 18 April 2024.
Beliau memaklumkan SPR telah melantik seorang pegawai pengurus pilihan raya dibantu oleh tiga orang penolong pengurus manakala bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh 14 hari.
SPR juga akan menubuhkan dua pasukan penguat kuasa kempen yang turut dianggotai wakil-wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan wakil-wakil calon yang bertanding.
Pilihan raya kali ini diadakan susulan kematian ADUN DAP daripada Pakatan Harapan (PH) Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung penyakit kanser.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Lee menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Gerakan Henry Teoh dengan majoriti 4,119 undi.
#PRK Kuala Kubu Bharu #Suruhanjaya Pilihan Raya #Tan Sri Abdul Ghani Salleh #Kuala Kubu Memilih #PRK Kuala Kubu Baharu
;