PRK DUN Bugaya: Calon Bebas pilih logo 'lepa' tonjol identiti diri
Bernama
November 5, 2022 07:30 MYT
November 5, 2022 07:30 MYT
SEMPORNA: Bertanding sebagai satu-satunya calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, aktivis politik dan Youtuber Jufazli Shi Ahmad, 33, menyifatkan penggunaan logo perahu atau 'lepa' memberikan kelebihan untuk menonjolkan dirinya sebagai calon tempatan.
Anak jati dari Kampung Bugaya, Semporna dan berbangsa Bajau itu berkata logo 'lepa' sangat sinonim dengan dirinya, apatah lagi bertanding di kawasan majoriti Bajau.
"Saya kira ada kelebihan untuk mendekati bagi meraih undi dengan kelebihan identiti saya anak Bajau. Saya lebih mempunyai kekuatan di DUN Bugaya sebab keluarga saya sangat ramai di kawasan ini.
"Jadi, jentera kempen Bugaya agak mudah saya akses, dan saya boleh menang di DUN Bugaya untuk PRK ini," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Semporna, di sini hari ini.
Lepa merupakan perahu berukir yang banyak digunakan oleh masyarakat Bajau dalam kehidupan seharian mereka terutamanya sebagai alat pengangkutan, perhubungan dan tempat tinggal.
Selaku calon, Jufazli beriltizam untuk mengangkat isu bekalan air dan jalan raya yang didakwa tidak dapat diselesaikan oleh wakil rakyat sebelum ini.
"Isu ini sangat dekat dengan pengundi DUN Bugaya amnya Semporna, ini adalah justifikasi saya bertanding kerusi di sini," tegasnya.
Jufazli yang pernah bertanding sebagai calon Bebas di DUN Tanjung Papat, Sandakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 berkata, isu air bukan masalah kecil tetapi boleh dianggap sebagai krisis bagi generasi kini dan masa depan.
Selain Jufazli, turut berentap di PRK DUN Bugaya pada 19 Nov ini adalah Abd Aziz Mohd Ibno (BN-UMNO), Arastam Pandorog (PH-PKR), Mohd Hassan Abu Bakar (GTA-Pejuang), Nazmawati Walli daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Karil Pg Kuraini dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan PRK DUN Bugaya pada 16 Jan 2021, namun ditangguhkan susulan proklamasi darurat mencegah COVID-19 pada 12 Dis 2020 yang dibatalkan pada 6 Okt lepas.
Pembatalan itu membuka jalan kepada SPR untuk menetapkan PRK DUN Bugaya, yang mempunyai 32,761 pemilih berdaftar, diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 Nov ini.
-- BERNAMA