PRK DUN Ayer Kuning: Calon BN disenarai pendek - Ahmad Zahid

Bernama
Mac 10, 2025 20:00 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Program Ihya’ Ramadan Al-Mubarak di Dewan Perdana, Kompleks UMNO Bagan Datuk hari ini. - Foto BERNAMA
BAGAN DATUK: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, April ini telah disenarai pendek dan akan diumumkan seminggu sebelum tarikh penamaan calon.
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata calon berkenaan adalah daripada enam senarai nama yang dikemukakan oleh bahagian dan perhubungan negeri melibatkan ahli UMNO Bahagian Tapah.
"Saya mengharapkan calon ini memenuhi kriteria penduduk-penduduk dan pengundi di Ayer Kuning dan Tapah amnya supaya kita dapat mengulangi, insya-Allah, kejayaan di beberapa pilihan raya kecil sebelum ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Ihya' Ramadan Al-Mubarak Tahun 1446 Hijrah/2026 Masihi di sini hari ini.
Ditanya berhubung koordinasi gerak kerja antara BN dan Pakatan Harapan untuk PRK itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kepimpinan BN-PH termasuk parti komponen mempunyai persefahaman.
"Datuk Seri M Saravanan dan pemimpin MCA negeri telah menghubungi saya dan saya telah berbincang dengan Jawatankuasa War Room di peringkat nasional mengenai gerak kerja yang telah dijalankan," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 12 dan 22 April.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown.
Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah sejak 2018 memenangi DUN berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November 2022 dengan memperoleh 2,213 majoriti undi dalam persaingan lima penjuru.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada lebih 1,000 penerima sempena program Sumbangan Asnaf Parlimen Bagan Datuk dan program Ceria ke Sekolah 2025.
-- BERNAMA
#Calon BN #PRK DUN Ayer Kuning #Ahmad Zahid Hamidi #Barisan Nasional
;