PRK Chini: Saya akan tunai janji ketengahkan suara rakyat - Mohd Sharim

Fareez Azman
Julai 4, 2020 23:57 MYT
Mohd Sharim diumumkan memenangi kerusi DUN itu dengan mendapat 13,872 undi. -Bernama
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini yang baru memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi itu, Mohd Sharim Md Zain bertekad menunaikan janjinya untuk mengetengahkan suara rakyat kawasan berkenaan.
Jelas calon Barisan Nasional (BN) itu, selepas diberi mandat melalui PRK berkenaan, beliau mengambil tanggungjawab untuk memberi tumpuan terhadap isu masyarakat setempat.
"Misi dan keutamaan saya adalah untuk membawa suara serta hasrat masyarakat di DUN Chini ke peringkat atasan.
"Saya yakin di belakang saya (adalah sokongan) oleh Datuk Seri Najib Razak; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
"Pastinya saya selaku orang muda dapat dibantu dan diberi perhatian terutama membabitkan hal masyarakat orang muda di DUN Chini ini," katanya ketika ditemui di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Paloh Hinai pada Sabtu.
Terdahulu, Mohd Sharim diumumkan memenangi kerusi DUN itu dengan mendapat 13,872 undi, menewaskan calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli masing-masing hanya mendapat 1,222 dan 137 undi.
BN berjaya meningkatkan majoriti kemenangan di kerusi itu kepada 12,650 undi berbanding keputusan pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu (4,622 undi).
#Barisan Nasional #Chini #Chini Memilih #mohd sharim #Pakatan Harapan #Perikatan Nasional #PH #pilihan raya kecil #PN #PRK Chini
;