PRK Cameron Highlands: Wanita 'duit minyak' beri keterangan pada SPRM
Arfa Yunus
Januari 15, 2019 00:09 MYT
Januari 15, 2019 00:09 MYT
Seorang wanita berbaju Pakatan Harapan yang didakwa memberi wang kepada sukarelawan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada Selasa, dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan.
Menurut sumber, wanita itu memberi kenyataan di Bilik Gerakan SPRM di sini selama hampir tiga jam dari pukul 7 petang Selasa.
Tinjauan Astro AWANI mendapati wanita tersebut keluar daripada Bilik Gerakan SPRM pada pukul 9.50 malam.
Wanita itu enggan memberi kenyataan kepada media dan menutup muka dengan jaketnya.
Sebelum ini, tular di media sosial gambar wanita tersebut memberikan wang kepada beberapa orang pemuda dan susulan itu, beberapa pihak membuat laporan polis mendakwa Pakatan Harapan (PH) terlibat dengan politik wang dan rasuah.
Namun, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet menjelaskan, wang itu adalah bayaran untuk kos minyak petrol sukarelawan PH.