PRK Cameron Highlands: SPR sasar jumlah keluar mengundi 70 peratus
Isabelle Leong
Januari 12, 2019 12:39 MYT
Januari 12, 2019 12:39 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pengundi keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P078 Cameron Highlands pada 26 Januari ini.
Justeru, Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berharap agar pengundi dapat keluar mengundi untuk menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.
“SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi untuk PKR ini adalah lebih kurang 70 peratus.
“Pada masa ini, SPR telah menyediakan Surat Aku Janji yang akan ditandatangani oleh calon mengandungi 10 janji mematuhi segala peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan mana-mana undang-undang serta peraturan yang berkaitan sepanjang tempoh 14 hari berkempen bermula 12 Januari 2019 hingga jam 11.59 malam pada 26 Januari 2019.
“SPR berharap semua calon dan parti yang terlibat akan menandatangani ‘Aku Janji’ tersebut,” katanya dalam satu sidang media SPR selepas pengumuman calon.
SPR pernah menyasarkan peratus keluar mengundi yang sama pada PRK Port Dickson namun sasarannya tidak tercapai.
Dalam pada itu, SPR juga telah mengenal pasti 385 pengundi orang kurang upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Tambahnya, saluran satu disediakan khas untuk kemudahan pengundi OKU.
“18 saluran baharu akan ditambah di pusat mengundi yang ramai pengundi iaitu daripada 70 saluran kepada 88 saluran.
“Penambahan petak undi di tempat mengundi (saluran) kepada tiga petak undi, di mana amalan sebelumnya adalah dua petak undi sahaja,” tambah Azhar.
Beliau turut berkata keputusan PRK tersebut akan diumumkan sebelum jam 10 malam.
PRK Parlimen P78 Cameron Highlands bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), dua calon Bebas.
Ia melibatkan calon PH, M. Manogaran dan calon BN, Ramli Mohd Noor.
Calon-calon Bebas pula ialah Sallehudin Talib dan Wong Seng Yee.
#Azhar Azizan Harun
#Cameron Highlands
#P078
#pilihan raya kecil
#PKR
#Surat Aku Janji
#Suruhanjaya Pilihan Raya