PRK Cameron Highlands: PH terlebih belanja, BN parti miskin - Annuar

Arfa Yunus, Isabelle Leong
Januari 15, 2019 07:00 MYT
Annuar berkata BN tidak mampu menabur duit sempena kempen PRK Cameron Highlands memandangkan parti itu kini merupakan pembangkang. - Astro AWANI/ISABELLE LEONG
Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa mendakwa Pakatan Harapan (PH) telah berbelanja lebih daripada sepatutnya ketika berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Beliau membuat kesimpulan ini berdasarkan jumlah papan iklan yang dipasang PH sekitar Cameron Highlands bagi menampilkan calonnya, M Manogaran.
"Saya berjalan dari Kuala Lipis melalui melalui Kampung Keledek sampai ke Koyan dan hinggalah ke sini (Tanah Rata), sambil saya bilang jumlah poster Barisan Nasional (BN).
"BN tak ada poster lagi. Tapi bunting dan billboard yang dipasang PH dah melebihi had perbelanjaan pilihan raya. Ini sangat nyata dan mewah. Banyak sekali mereka belanjakan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.
Dakwaan Annuar tidak dapat disahkan setakat ini dan Astro AWANI masih berusaha mendapatkan penjelasan daripada jentera pilihan raya PH.
Mengikut peraturan Pilihan Raya, had belanja calon atau ejen pilihan raya adalah RM200,000 bagi kawasan Parlimen dan RM100,000 bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas mengenai BN pula, Annuar berkata parti itu tidak mampu menabur duit memandangkan mereka kini telah menjadi pembangkang.
"Di pihak kita, kita mengakui kita memang menghadapi kekangan sumber. Memang sangat-sangat kekurangan.
"Kita orang 'miskin'. Sudah tentu, orang kata, sumber satu perkara penting. Kita tak mahu nafikan... tapi ini bukan perkara paling penting, paling penting kita utamakan rakyat," tambahnya.
#Annuar Musa #Barisan Nasional #dana politik #M Manogaran #Pakatan Harapan #papan iklan #pilihan raya kecil #PRK Cameron Highlands #sumber
;