PRK Cameron Highlands: Mengapa pusat mengundi ditutup awal? - Annuar Musa
Isabelle Leong
Januari 18, 2019 13:59 MYT
Januari 18, 2019 13:59 MYT
Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa mempersoalkan mengapa pusat mengundi ditutup awal di kebanyakan daerah mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.
Annuar berkata hanya empat daripada 29 pusat daerah mengundi (PDM) dibuka sehingga jam 5 petang.
“Empat PDM tersebut adalah Bertam Valley, Tanah Rata, Ringlet dan Brinchang.
“25 PDM yang lain akan ditutup awal iaitu sebelum jam 5 petang dan ada yang ditutup pada jam 1 petang. Kebanyakannya ditutup pada jam 2 dan 3 petang.
“PDM Kuala Medang, misalnya, ditutup pada jam 2 petang.
“Penduduk perlu menggunakan pengangkutan termasuk menggunakan perahu untuk membuang undi,” kata Annuar dalam sidang media di Tanah Rata pada Jumaat.
Beliau juga berharap agar pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil berat tentang perkara ini kerana ia melibatkan hak rakyat dan juga pengundi.
"Jadi saya menyeru para pengundi buat masa ini, para pengundi harus sedar banyak peti indi, malah 25 peti undi tamat pukul 3 atau sebelumnya," katanya.
“Kebimbangan saya kalau berlaku hujan di sebelah pagi atau ada rintangan yang lain maka peratusan keluar mengundi akan terencat.
“Dan kebimbangan kita adalah di DUN Jelai yang kebanyakan tempoh mengundinya dipendekkan,” tambahnya.
PRK Cameron Highlands bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) M Manogaran, Ramli Mohd Nor (BN) dan dua calon Bebas iaitu Wong Seng Kee dan Sallehudin Ab Talib pada 26 Januari ini.
#Barisan Nasional
#calon
#Malaysia Baharu
#Pakatan Harapan
#PRK Cameron Highlands
#rakyat
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Tan Sri Annuar Musa