PRK Cameron Highlands: Calon Bebas mulakan kempen, umum manifesto

Isabelle Leong
Januari 14, 2019 17:30 MYT
Calon yang bertanding bagi merebut kerusi Parlimen P078 Cameron Highlands dari kiri ke kanan, Sallehudin Ab Talib, Bebas, Wong Seng Yee, Bebas, Ramli Mohd Nor, BN dan M Manogaran, PH. - Gambar fail/BERNAMA
Hari ini masuk hari ketiga kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands yang menyaksikan persaingan empat penjuru.
Calon daripada Pakatan Harapan (PH), M Manogaran dan Barisan Nasional (BN), agresif memulakan ‘perang’ kempen sejak dua hari lalu,
Berbeza pula buat kedua-dua calon Bebas yang baru sahaja memulakan langkah pertama berkempen hari ini.
Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib mengumumkan manifesto masing-masing dengan berjanji untuk memperjuangkan dan mengangkat isu kepentingan petani, isu tanah dan isu-isu rakyat tempatan tanpa mengabaikan Orang Asli.
Seawal jam 10 pagi, Wong, 40, yang merupakan seorang peladang membawa wakil media melihat aktiviti harian petani ke ladang bunga kekwanya di Habu.
“Saya akan memperjuangkan isu status tanah Orang Asli supaya tanah mereka diwartakan.
“Saya juga boleh membantu mereka dalam kegiatan pertanian dari segi teknologi yang baharu supaya mereka dapat dibangunkan tanpa mengharap mana-mana skim untuk membantu mereka. Jadi mereka boleh menyumbang balik kepada ekonomi negara,” kata Wong.
Beliau juga berjanji untuk menaik taraf kemudahan dan peralatan di ladang bagi membantu petani di Cameron Highlands untuk bergerak menuju ke arah pertanian moden ataupun pertanian 4.0.
Lain pula corak kempen bekas pensyarah Sallehudin Ab Talib yang berjanji untuk memperjuangkan kepentingan tiga kelompok masyarakat terbesar di Cameron Highlands iaitu masyarakat di kampung tradisi, masyarakat Orang Asli dan juga golongan peneroka di tiga penempatan Felda bawah Parlimen ini.
"Sebagai calon Bebas, saya membawa suara rakyat untuk rakyat. Perjuangan ini adalah perjuangan rakyat.
"Kita lihat banyak isu yang yang diketengahkan oleh rakyat tidak didengari oleh mereka yang sepatutnya mendengarinya dan sepatutnya ambil tindakan terhadap isu-isu rakyat yang sangat banyak di Cameron Highlands ini,” kata Sallehudin dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Menyedari kedua-dua parti utama yang bertanding mempunyai banyak kelebihan berbanding calon Bebas, strategi kempen mereka lebih tertumpu kepada perjumpaan secara peribadi dengan pengundi selain berkempen melalui media sosial.
#Barisan Nasional #Cameron Highlands #M Manogaran #Manogaran #Pakatan Harapan #pertandingan empat penjuru #pilihan raya kecil #Sallehudin Ab Talib #Wong Seng Yee
;