PRK Balakong hangat dengan isu sabotaj
Afiezy Azaman
Ogos 25, 2018 16:54 MYT
Ogos 25, 2018 16:54 MYT
Calon MCA Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong, Tan Chee Teong berang apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab melakukan sabotaj dengan merosakkan hampir 100 poster dan sepanduk kempennya di Kampung Kwan Tung Baru, Sungai Chua.
Beliau dimaklumkan mengenai perkara itu semalam dan pihaknya akan melaporkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Bersih 2.0 untuk membuat tindakan lanjut dan memantau perkara itu.
“Ini (poster) letak di sana 21 hari sahaja. Lepas itu kami akan bukakan semua. Tetapi kenapa ada orang rajin sangat pergi bukakan semua ni dan apa tujuan dia (berbuat demikian)?
“Saya hanya bangkitkan isu-isu tempatan mengutarakan masalah-masalah rakyat di sini mengapa nak ada budaya samseng?" Katanya dalam sidang media di Taman Berjaya di sini, hari ini.
Beliau turut menyifatkan tindakan itu sebagai merosakkan sistem demokrasi dan pilihan raya yang sedang diamalkan di negara ini.
Sementara itu dalam sidang media berasingan, Calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki menafikan dakwaan bahawa pihaknya bertanggungjawab terhadap kerosakan poster dan sepanduk kempen lawannya itu.
Siew Ki berkata sebarang tuduhan yang dilemparkan kepada pihaknya adalah tidak berasas kerana tiada bukti yang kukuh diberikan.
“Saya rasa ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Dia belum pun pastikan siapa yang turunkan atau rosakkan poster mereka dan terus buat tuduhan sesuka hati terhadap pihak kita,” jelasnya.
Naib Ketua Wanita DAP Serdang itu juga menasihati lawannya agar tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan rakyat dan tidak relevan.
“Saya rasa calon MCA ini kena fikir baik-baik, sebenarnya dia tahu tak apa itu tanggunjawab seorang ADUN? Kita selalu nampak kenyataan dia pergi tengok longkang, pokok sudah runtuh, yang itu bukan kerja ADUN, itu kerja ahli majlis.
“Lepas tu tanya pasal ‘federal’ punya isu. Bukan tidak boleh, tetapi sepatutnya isu seperti mansuh tol dan sebagainya kerja menteri,” katanya.