PRK Balakong dan Seri Setia: SPR yakin capai 70 peratus keluar mengundi
Rahimah Abdullah
September 4, 2018 13:01 MYT
September 4, 2018 13:01 MYT
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan kira-kira 70 peratus pengundi akan menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRK Balakong dan Seri Setia pada 8 September ini.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata peratusan itu dijangka lebih tinggi berbanding PRK Sungai Kandis 4 Ogos lalu.
“Kita seru calon agar dapat memaklumkan pengundi untuk keluar mengundi sebab kalau boleh kita nak elakkan peratusan pengundi rendah memandangkan di PRK Sungai Kandis dulu 49.4 peratus keluar mengundi.
“Jadi, kalau boleh kita nak peratusan itu lebih tinggi. Kita harap dengan kesedaran kempen peratusan itu lebih baik,” katanya semasa ditemui media selepas melawat Pusat Mengundi Awal di Dewan Ababil PU Subang, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, SPR memahami sebarang keadaan yang tidak dapat dijangka boleh berlaku memandangkan ia perlu dilihat mengikut mood pengundi.
“Saya seru supaya SPR tingkatkan kempen dan calon sendiri galakkan pengundi keluar mengundi untuk capai 70 peratus.
“Pengundi tahu tarikh mengundi, namun kita kena giatkan kempen kerana ada pengundi yang tunggu dan lihat dulu baru dia keluar mengundi,” tambahnya.
Dalam pada itu, katanya, SPR belum menerima secara rasmi laporan kesalahan kempen pilihan raya di kedua-dua DUN.
“Kalau ada berlaku salah laku kempen boleh dibuat laporan dan kita akan ambil tindakan mengikut peraturan ditetapkan,” jelasnya.
Kempen di Seri Setia juga, katanya, berjalan lancar dan tenang tanpa sebarang gangguan.
#BALAKONG
#Dewan Ababil PU Subang
#Othman Mahmood
#PRK DUN Balakong
#PRK DUN Seri Setia
#Pusat Mengundi Awal
#seri setia
#SPR