PRK: 'Anak-anak pakai kasut arwah abahnya semasa berkempen' - Mastura

Wan Syamsul Amly, Harits Asyraf Hasnan
Jun 15, 2016 17:44 MYT
MASTURA: 'Kata mereka mahu semangat abah dan merasai sendiri langkah kaki abah semasa berjumpa pengundi' - Gambar fail
Keempat-empat anak Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad memakai kasut ayah mereka untuk menaikkan semangat masing-masing sepanjang minggu kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar.
Ibu mereka yang juga calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid berkata, walaupun sedikit kecil tetapi tetap muat kerana kasut itu sudah kembang akibat sudah lama dipakai.
"Keempat-empat perwira saya memakai kasut arwah abahnya semasa berkempen. Kata mereka mahu semangat abah dan merasai sendiri langkah kaki abah semasa berjumpa pengundi.
"Alhamdulillah, mereka tidak pernah merungut semasa berkempen walaupun latar belakang masing-masing adalah pelbagai," katanya semasa ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Wan Emir Astar, 26 merupakan anak sulung kepada Mastura.
Selain Wan Emir, tiga lagi adiknya, Wan Imar Izzat, 25, Wan Iskandar, 23, dan Wan Muhammad Amar, 19, turut bersama sepanjang musim kempen.
Dalam pada itu katanya, semua anak-anaknya mempunyai profesion mereka tersendiri dan tidak pernah melahirkan hasrat untuk terjun ke dunia politik.
"Saya telah bertanya kepada mereka terutama kepada Wan Emir yang sedia aktif sebagai seorang aktivis dalam beberapa persatuan seperti Kelab UMNO London.
"Mereka tidak pernah kata mereka akan masuk ke dunia politik tetapi satu perkara mereka cakap pada saya, mereka akan membantu saya untuk orang Kuala Kangsar.
"Setelah begitu giat berkempen mereka lihat berapa banyaknya kerja yang harus dibuat untuk membantu orang Kuala Kangsar, jadi itu saya pasti mereka akan buat," ujarnya.
Mastura sebelum ini, bersyukur kerana hasrat menyegerakan pembinaan Jambatan Manong menyeberangi Sungai Perak, serta menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) supaya diberikan status universiti sudah direalisasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara tiga lagi agenda yang diperjuangkan Mastura iaitu menaik taraf Hospital Kuala Kangsar kepada Hospital Pakar, memohon kelulusan pelebaran Jalan Manong-Kuala Kangsar serta membangunkan semula lembah dan tebing Sungai Perak sebagai pusat pelancongan dilihat akan direalisasikan tidak lama lagi.
PRK Kuala Kangsar menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Barisan Nasional, PAS, Amanah dan Bebas.
Pengundian bakal berlangsung 18 Jun ini.
#BN #Kuala Kangsar #Mastura #PRK
;