PRK: 20 kawasan panas, polis akan jatuhkan dron jika guna semasa penamaan calon

Harits Asyraf Hasnan
Jun 4, 2016 15:44 MYT
Seramai 1,381 anggota PDRM akan terlibat semasa hari penamaan calon PRK Kuala Kangsar dan jumlah itu akan meningkat sehingga 2,940 anggota semasa hari mengundi. - Gambar fail
Polis mengenal pasti 20 kawasan panas menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar yang berlangsung esok.
Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abdul Haq enggan menyenaraikan kawasan tersebut.
"Kita kenal pasti 10 kawasan panas berada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) N.34 Bukit Chandan dan 10 kawasan panas di DUN N.35 Manong.
"Esok Ketua Polis Perak akan beri butiran lanjut berkenaan kawasan panas dalam satu sidang media," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Kangsar hari ini.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, PDRM juga telah menubuhkan pasukan cantas khusus bagi mengekang dan membanteras sebarang cubaan kumpulan kongsi gelap membuat huru-hara dan mensabotaj PRK tersebut.
"Pasukan itu bukan sahaja tertumpu di sini tetapi di seluruh negeri bagi memastikan PRK kali ini berjalan lancar.
"Pasukan itu juga akan memantau sebarang cubaan pihak tertentu yang berhasrat mengeruhkan suasana PRK di sini," katanya.
Selain itu, pihak polis juga akan bertindak menjatuhkan dron jika ada mana-mana pihak yang masih berdegil mengendalikan teknologi tersebut semasa proses penamaan calon esok.
Seramai 1,381 anggota PDRM akan terlibat semasa hari penamaan calon PRK Kuala Kangsar dan jumlah itu akan meningkat sehingga 2,940 anggota semasa hari mengundi.
#Ahmad Termizi Abdul Haq #Polis mengenal pasti 20 kawasan panas menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar yang berlangsung esok
;