Prince Charming bertemu Giant Killer, masing-masing ada aspirasi untuk pengundi Penampang
Ruzaini Zulkepli
Mei 5, 2018 06:18 MYT
Mei 5, 2018 06:18 MYT
Mempunyai paras rupa yang sedap mata memandang bukan satu ukuran untuk calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Penampang, Caesar Mandela Malakun, mengetengahkan aspirasinya untuk penduduk kawasan itu bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.
Pemuda berjiwa kental ini, yang juga anak kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Moyog Datuk Clarence Bongkos Malakun, sanggup "melupakan" keseronokan zaman belianya semata-mata untuk berbakti kepada penduduk Penampang.
Mandela tidak asing lagi buat penduduk di kawasan itu kerana telah lama terlibat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
Beliau ada hasrat tersendiri dalam membuat pilihan untuk serius dalam bidang politik.
"Sebab utama saya memilih untuk terlibat dalam politik adalah kerana mahu memberi inspirasi kepada anak muda bahawa mereka juga patut menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran negara.
"Saya juga tidak mahu anak muda ini terlibat dalam politik hanya atas dasar perasan benci, atau politik kebencian, tetapi biarlah kita berpolitik secara matang," katanya ketika ditemui media, di sini, pada Sabtu.
Mandela yang berdepan pertandingan empat penjuru di kerusi itu dan turut mencabar seteru utamanya, Ignatius Darell Leiking, telah menggariskan perancangannya dalam membangunkan Penampang, termasuk bagi menjadikan daerah itu sebagai Hub IT dan juga tumpuan bagi pembangunan sektor pelancongan.
Sementara itu, Darell yang merupakan penyandang kerusi itu, diibaratkan "Orang Kuat" Penampang kerana pernah menewaskan seorang presiden parti pada pilihan raya yang lalu.
Beliau turut menggariskan aspirasinya sendiri buat penduduk Penampang dengan memberikan fokus kepada bidang pendidikan.
Menurut Darell, penumpuan dalam bidang pendidikan mampu mencetuskan satu revolusi di kawasan itu selain turut memberi penekanan pembangunan dalam sektor pelancongan dan juga pembangunan dalam pelbagai industri.
"Penampang mempunyai banyak potensi yang boleh dibangunkan sebagai punca pendapatan penduduk, tetapi bagi saya, pembangunan dalam sektor pendidikan adalah lebih utama.
"Daerah Penampang sepatutnya sudah memiliki universiti, sama seperti di Miri dan Kuching. Namun apa yang kita lihat kini, BN masih belum mampu membangunkan Penampang ke arah itu," katanya.
Pada PRU13, Penampang yang melibatkan tiga kerusi dengan satu kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN iaitu Moyog dan Kapayan, didominasi oleh parti pembangkang.
Ketika itu, Darell, bekas ahli PKR yang kini beralih kepada Parti Warisan Sabah, telah berjaya mengalahkan calon BN, iaitu Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Giluk Dompok, dengan majoriti besar 10,216 undi.
#aspirasi
#Barisan Nasional
#Caesar Mandela Malakun
#calon
#Clarence Bongkos Malakun
#Darell Leiking
#MalaysiaMemilih
#Parlimen
#Penampang
#Penduduk
#PRU14