Prestasi PRU: Pandangan Ahmad Maslan simplistik tanpa fakta - Ismail Sabri
Fareez Azman
Jun 10, 2023 17:18 MYT
Jun 10, 2023 17:18 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menempelak kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mendakwa prestasi UMNO pada Pilihan Raya Umum yang lalu akan jauh lebih baik sekiranya keputusan membubarkan Dewan Rakyat dibuat lebih awal selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Tegas Ismail Sabri, pandangan yang dibuat oleh Ahmad Maslan itu hanya bersifat simplistik tanpa fakta dan statistik.
"Pagi ini media melaporkan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa UMNO tidak seteruk ini jika pihak Putrajaya (kerajaan pada ketika itu) ikut keputusan bersama membubarkan Dewan Rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
"Hakikatnya, pandangan yang simplistik tanpa fakta dan statistik oleh bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan seperti inilah yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15)," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambah Ismail Sabri, sebagai Perdana Menteri ketika itu, proses pemulihan negara dan rakyat diberi keutamaan berbanding membubarkan Parlimen.
Malah unjuran UMNO ketika PRU-15 boleh melepasi 112 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, namun unjuran itu tidak dapat dicapai.
"Unjuran UMNO pada ketika itu BN boleh melepasi 112 kerusi dan boleh membentuk kerajaan secara solo. Soalnya, apakah ada kajian sikap secara komprehensif telah dilakukan sebelum membuat unjuran tersebut kerana akhirnya BN hanya tinggal 30 kerusi di Dewan Rakyat.
"Sebagai Perdana Menteri pada ketika itu, saya mendapat laporan daripada pelbagai agensi yang menunjukkan suasana pada ketika itu BN masih tidak mampu untuk menang.
"Semasa itu, ekonomi sedang dalam proses pemulihan selepas kita terjejas teruk akibat Pandemik COVID-19. Sepatutnya proses pemulihan diteruskan bukan dengan membubarkan Parlimen," katanya lagi.
Usaha memulihkan ekonomi negara dan rakyat telah menunjukkan hasil. Malah ekonomi negara berkembang sebanyak 8.7 peratus pada tahun 2022 terbaik di Asia Tenggara.
Mengulas lanjut ujar Ismail, PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator dalam menentukan kejayaan BN dalam PRU.
Malah dinamika politik yang berubah, tidak seperti jangkaan yang dibuat Ahmad ketika menjadi Setiausaha Agung BN ketika itu.
"Namun kerana yakin menang tanpa fakta, akhirnya BN kecundang dalam PRU-15. PRN tidak boleh dijadikan sebagai indikator untuk menentukan kejayaan BN dalam PRU. Keadaan politik negara amat dinamik.
"PRN dan PRU adalah dua perkara yang amat berbeza. PRN lebih tertumpu kepada isu negeri khususnya prestasi kerajaan yang mentadbir negeri pada ketika itu. PRU melibatkan isu nasional. Apatah lagi persepsi terhadap BN secara keseluruhannya masih tidak baik pada ketika itu.
"Inilah punca sebenar kekalahan BN kerana mempunyai bekas Setiausaha Agung UMNO yang hanya sekadar boleh membuat andaian mudah berlandaskan logik akalnya sahaja tanpa mempunyai statistik sokongan peringkat persekutuan kepada BN," katanya lagi.