Prestasi BN pada PRU14 diramal seakan PRU13 - Merdeka Center
Rahimah Abdullah
April 26, 2018 05:18 MYT
April 26, 2018 05:18 MYT
Prestasi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijangka menyamai PRU13 yang lalu, ujar Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian.
Bagaimanapun, jelasnya, walaupun kelebihan berpihak kepada BN, namun parti itu berdepan kesukaran untuk memperoleh kemenangan di beberapa negeri pakatan pembangkang.
"Kita melihat memang BN mampu untuk menyamai prestasi PRU13 lalu. Namun ada beberapa negeri pembangkang yang ada sedikit potensi (pembangkang menang) dan kita akan melihat kempen nanti sama ada ia akan mengubah keputusan itu atau tidak.
"Apa yang kita lihat memang BN mempunyai kelebihan yang nyata dan ada potensi dan sekurang-kurangnya menyamai keputusan PRU13 yang lalu," katanya kepada media selepas program forum "Malaysia Decides 2018: Continuity or Change?" di Kuala Lumpur Teaching Centre di Kampus Universiti Nottingham Malaysia di sini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa wawancara dengan Bloomberg yang menjangkakan BN akan mencapai "keputusan lebih baik" pada PRU 9 Mei ini berbanding pencapaiannya pada PRU13.
Pengerusi BN itu juga berkata, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dibersihkan, tidak berlaku sebarang penyelewengan dan beliau berpegang dengan pendirian berkenaan.
Dalam pada itu, hasil kajian terbaharu Merdeka Center turut mendapati sokongan pengundi Melayu di Terengganu dan Kelantan terhadap BN semakin baik dan bakal memberi kesan positif kepada keputusan PRU14.
"Melihat kepada kajian kita di kawasan seperti di Terengganu dan Kelantan ini, memang ada sedikit peningkatan daripada sokongan pengundi Melayu kepada BN," kata Ibrahim.
"Jadi ia dilihat memang prestasi BN di Terengganu kemungkinan besar akan bertambah baik dan di Kelantan pula, jika trend ini berterusan sehingga pilihanraya kelak, ianya akan memberi potensi kepada BN untuk merampas Kelantan."
Menurut Ibrahim, kajian di Kelantan dilakukan sejak Januari lalu dan dikemaskini kira-kira seminggu lepas.
"Kajian di Johor kita lakukan pada seminggu lepas untuk melihat kedudukan di Johor. Di Terengganu juga dilakukan pada Januari dan seminggu lalu kita lakukan kemaskini sama ada kajian telah berubah," tambahnya.
#1MDB
#Barisan Nasional
#Malaysia
#MalaysiaMemilih
#Media
#Melayu
#menteri
#Merdeka
#Najib Razak
#pembangkang
#Perdana Menteri
#pilihan raya
#pilihan raya umum
#PRU13
#PRU14