Presiden UMNO perlu jumpa akar umbi, nilai semula kerjasama dengan DAP - Isham Jalil
Irfan Faruqi
Ogos 13, 2023 16:09 MYT
Ogos 13, 2023 16:09 MYT
KUALA LUMPUR: Kepimpinan UMNO perlu membuat pertimbangan semula, termasuk mengenai kerjasama dengan DAP, untuk mengelakkan parti Melayu itu pupus pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menuntut agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berjumpa dengan akar umbi untuk menjernihkan yang keruh dan memperbaiki keadaan.
"Berkenaan isu Presiden yang ditanya oleh akar umbi, saya telah jawab apa yang termampu di sesi-sesi dialog saya. Saya bukan orang Presiden, namun saya hormat institusi itu.
"Saya mohon supaya YAB Presiden dapat berjumpa akar umbi sendiri sehingga ke peringkat bawah di akar umbi dan berdialog dengan mereka," katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Selain itu, Isham turut membangkitkan berkenaan bentuk kerjasama dengan parti DAP yang perlu dilihat semula. Menurutnya, kedudukan DAP dalam minda akar umbi UMNO masih menjadi suatu perkara yang sensitif dan sukar untuk diterima.
"Berkenaan DAP, saya telah kata sebelum ini bahawa perkara ini adalah amat sensitif kepada akar umbi kita. Jika kita paksa akar umbi kita undi DAP, mereka akan bantah dan besar kemungkinan tidak akan keluar mengundi, atau lebih teruk mereka protes dan undi PN. Ini yang telah berlaku di enam negeri ini.
"Di Selangor, undi yang calon PN bertanding menentang calon kita, calon PN telah mendapat undi lebih banyak berbanding ketika mereka bertanding di bawah tiket PKR dulu. Ini bermaksud, bukan sahaja penyokong lama PKR menyokong mereka, namun orang UMNO pun mengundi mereka juga. Ini adalah satu tamparan hebat kepada UMNO," katanya lagi.
Isham menyatakan UMNO hanya mempunyai dua pilihan, sama ada terus bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan dan pilihan raya, ataupun bekerjasama hanya dalam kerajaan dan bukan pilihan raya.
"Dengan pilihan kedua itu, kita mungkin boleh membina semula parti kita dengan mengekalkan ideologi dan perjuangan kita, walaupun mula-mula mungkin kita kalah atau tidak menang besar, namun demikian dengan ini kita dapat kekalkan akar umbi kita dan sedikit demi sedikit memenangi semula hati rakyat.
"Jika tidak, akar umbi kita akan lari ke parti lain, dan nasib kita akan jadi seperti pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Untuk mengejar 500 undi DAP, kita hilang 5,000 undi Melayu dan hilang akar umbi. Jika kita hilang akar umbi parti kita akan mati. Ini tidak bijak malahan bahaya," jelasnya
Kenyataan tersebut dibuat susulan prestasi UMNO yang hanya berjaya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu.
UMNO hanya berjaya merebut 1 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan, Pulau Pinang (2 kerusi DUN), Selangor (2 kerusi DUN) dan Negeri Sembilan (14 kerusi DUN). Manakala, UMNO tewas di semua kerusi DUN yang ditandingi di Kedah dan Terengganu.
"Saya harap kita melihat dan berusaha untuk memperbetulkan keadaan. Kita perlu melakukan sesuatu yang drastik, kerana kita kini berada di keadaan yang getir dan kritikal. Jika kita tidak berbuat apa-apa, kita dan perjuangan UMNO akan lenyap di bumi Allah ini. Kita perlu bangun," ujarnya.