Presiden UMNO perlu dicabar bagi menentukan keabsahan - Mohd Faizal

Astro Awani
Januari 7, 2023 09:35 MYT
Mohd Faizal Mohd Said berkata, keabsahan itu penting bagi Ahmad Zahid seiring dengan langkah yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR : Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) dan pemilihan parti merupakan pentas bagi menentukan 'keabsahan' Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mengemudi parti itu.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Simpang Renggam, Mohd Faizal Mohd Said berkata, keabsahan itu penting bagi Ahmad Zahid seiring dengan langkah yang diambil Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu.
"Saya rasa Presiden UMNO perlu dicabar bagi menentukan keabsahan segala tindak-tanduk dan keputusan parti yang dikemukakannya, sama ada benar-benar mencerminkan hasrat akar umbi parti atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan.
Ujar Mohd Faizal, tanda tanya keputusan Ahmad Zahid membawa UMNO-Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan Malaysia benar-benar mencerminkan suara sebenar akar umbi UMNO juga hanya akan terjawab melalui pemilihan UMNO.
"Saya percaya masih ada ramai pemimpin UMNO yang mempunyai kewibawaan untuk mencabar kedudukan Ahmad Zahid seperti Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sendiri," tegas beliau lagi.
Kenyataan itu dibuat Mohd Faizal selepas Ahmad Zahid secara terbuka menyatakan kesediaan untuk dicabar.
Ahmad Zahid dalam perebutan jawatan nombor satu UMNO itu pernah dicabar dalam pemilihan parti pada 2018.
Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan empat pesaing lain antaranya dua nama besar UMNO iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga bekas Ahli Parlimen Gua Musang.
Ketika itu, Khairy memperoleh 51 undi, manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li mendapat 23 undi.
Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang kurang dikenali iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa gagal memperoleh sebarang undi.
#Mohd Faizal Mohd Said #Anwar Ibrahim #Barisan Nasional #Politik Sabah