Presiden MIC ragui kemampuan Pakatan Harapan bawa perubahan kepada Malaysia

Bernama
Januari 10, 2018 18:53 MYT
DR SUBRAMANIAM: Harapan untuk pembaharuan tiada seperti dijanji oleh mereka kerana apa yang ditawarkan oleh mereka adalah sesuatu yang lama. - Gambar fail/Astro AWANI
Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam meragui kemampuan Pakatan Harapan untuk membawa perubahan di negara ini apabila mereka mengitar semula pemimpin lama sebagai calon perdana menteri.
Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata pemilihan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, 93, yang sepatutnya telah bersara itu mencerminkan pakatan itu ketandusan pemimpin.
"Harapan untuk pembaharuan tiada seperti dijanji oleh mereka kerana apa yang ditawarkan oleh mereka adalah sesuatu yang lama," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Pada Ahad lepas, Pakatan Harapan menamakan Dr Mahathir yang merupakan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebagai calon perdana menteri jika pakatan itu memenangi pilihan raya umum ke-14, manakala presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.
Ditanya mengenai persepsi masyarakat India terhadap pengumuman pakatan pembangkang itu, Subramaniam berkata MIC berpendirian pencapaian masyarakat India ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak jauh lebih baik berbanding ketika Dr Mahathir menjadi perdana menteri.
"Itu memang satu perkara yang memang jelas berasaskan fakta," katanya.
Di IPOH, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata pemilihan Dr Mahathir sebagai perdana menteri oleh Pakatan Harapan umpama reformasi 2.0 yang diadakan untuk mengangkat semula pengerusi PPBM itu demi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.
Beliau menyifatkan keputusan itu ibarat 'drama besar' pembangkang yang mempergunakan Dr Mahathir semata-mata untuk meraih undi rakyat pada pilihan raya umum ke-14.
"Gerakan (reformasi) pada awal dulu ternyata (pembangkang) menunjukkan kebencian dan melontarkan ayat-ayat yang begitu pedih dan terlalu menghina terhadap Dr Mahathir.
"Hari ini gerakan itu boleh dinamakan reformasi 2.0 apabila musuh nombor satu mereka dahulu diangkat semula dan ayat-ayat kebencian yang mereka bina sebelum ini ditelan semula," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Zambry yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata permainan pembangkang itu seolah-olah dilakukan untuk meyakinkan dan menguar-uarkan kepada rakyat kononnya mereka adalah parti yang mempunyai alternatif yang baik.
-- BERNAMA
#calon perdana menteri #Calon PM #Dr Mahathir #Dr S Subramaniam #Mahathir Mohamad #Menteri Kesihatan #Pakatan Harapan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #perubahan #PPBM #Presiden MIC
;