Pra-majlis angkat sumpah PM ke-9: Ismail Sabri bertemu Ahli Parlimen UMNO, BN malam ini

Firdaus Azil
Ogos 20, 2021 15:06 MYT
Datuk Seri Ismail Sabri dilihat tiba di hotel berkenaan kira-kira 8.30 malam, sebelum dilihat keluar kira-kira 10.40 malam. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Biarpun hanya akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 esok, jadual Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus padat.
Terdahulu, Ahli Parlimen Bera itu telah mengadakan pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional selama dua jam di sebuah hotel di ibu negara.
Beliau dilihat tiba di hotel berkenaan kira-kira 8.30 malam, sebelum dilihat keluar kira-kira 10.40 malam.
Namun, Ismail Sabri berkata, sebarang kenyataan hanya akan dikeluarkan selepas beliau selesai mengangkat sumpah di Istana Negara.
BACA: Ismail Sabri angkat sumpah PM ke-9: Istana Negara, Menara Dato' Onn jadi tumpuan esok
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Ismail Sabri PM ke-9
Difahamkan pertemuan berkenaan adalah bagi membincangkan struktur Kabinet yang akan diwujudkan selepas beliau sah menjadi Perdana Menteri.
Antara yang kelihatan di hotel berkenaan ialah Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Itam), Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Seri Idris Jusoh (Besut), dan Khairy Jamaluddin (Rembau).
Bagaimanapun, masing-masing enggan memberikan sebarang komen.
#angkat sumpah #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Ahli Parlimen BN #UMNO #Barisan Nasional #pm ke-9