PR, sila buat kaji selidik berapa orang tidak 'happy' di Sungai Burong - Mohd Shamsudin
Astro Awani
Disember 9, 2014 10:57 MYT
Disember 9, 2014 10:57 MYT
"Saya cabar Pakatan Rakyat (PR) di Selangor buat kaji selidik kira berapa orang tidak 'happy' di Sungai Burong, kalau sedikit, saya sanggup letak jawatan Ahli Dewan Undangan (ADUN) di sini."
Itu reaksi pertama ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias apabila ditanya mengenai reaksinya selepas beberapa portal pro-PR memainkan isu memintanya turut melepaskan jawatan ADUN selepas meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor pada Isnin.
Shamsudin menegaskan, PR tidak boleh mencampuri isu kedudukannya sebagai ADUN Sungai Burong dengan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang Selangor.
"Sebab itu saya cabar mereka (PR) buat kajian di kawasan saya, kalau mereka dapati saya tidak berkhidmat dengan baik di Sungai Burong, saya sanggup berundur juga.
"Tetapi saya tahu apa yang sudah saya buat di sini (DUN Sungai Burong), jangan campur isu saya bersama rakyat di sini dengan demokrasi cara PR yang mereka amalkan di Dewan Undangan Negeri," tegasnya.
Katanya, cukuplah dia menjadi 'pak turut' dan diperangkap dengan isu lantikan sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) Selangor.
"Sudahlah mereka tidak adil dan meletakkan komposisi anggota jawatankuasa PAC dimonopoli ADUN PR sekali gus lebih berunsur muslihat politik, kini mereka hendak saya letak jawatan ADUN Sungai Burong pula.
"Saya sudah maklumkan keputusan ini kepada kepimpinan BN Selangor dan surat perletakan jawatan sebagai Ketua Pembangkang kepada wakil pejabat Speaker Dewan DUN negeri," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Selain meletak jawatan Ketua Pembangkang Selangor, Mohd Shamsudin turut memulangkan semua kemudahan yang diterima sebagai ketua pembangkang termasuk sebuah kereta jenis Toyota Camry yang diberikan oleh kerajaan negeri kepadanya.
Dalam pada itu, kata Mohd Shamsudin lagi, isu siapa yang akan menggantikannya sebagai Ketua Pembangkang akan ditentukan Badan Perhubungan BN Selangor sendiri.
"Isu itu biarlah pengerusi tentukan nanti.
"Inilah politik, kita kena sanggup berkorban dan dikorbankan demi perjuangan," jelasnya.