PR akan adakan mesyuarat khas bincang isu hudud dan pilihan raya PBT
Haider Yutim
Februari 8, 2015 18:31 MYT
Februari 8, 2015 18:31 MYT
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini bersetuju untuk mengadakan satu mesyuarat khas bagi membincangkan isu enakmen jenayah syariah (hudud) dan juga isu berkaitan cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Majlis pimpinan Pakatan Rakyat bersetuju untuk mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan serta merangka penyelesaian yang menyentuh isu-isu enakmen jenayah syariah dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan," kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media selepas mesyuarat diantara kepimpinan ketiga-tiga parti - PAS, PKR dan DAP.
Bagaimanapun tarikh mesyuarat tersebut masih belum ditentukan lagi.
Selain itu, Anwar juga memaklumkan bahawa Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen pakatan tersebut pada 10 Mei ini dan berkemungkinan besar akan diadakan di ibu negara.
Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng turut memaklumkan, PR juga akan mengadakan satu mesyuarat tergempar sejurus selepas keputusan rayuan kes liwat 2 yang melibatkan Anwar di Mahkamah Persekutuan pada hari yang sama iaitu 10 Feb 2015.
Kedua-dua isu tersebut merupakan isu yang dilihat menjadi 'perbalahan' di antara dua parti sekutu dalam PR iaitu DAP dan PAS.
Namun menurut Anwar, mesyuarat Majlis Pimpinan PR yang telah diadakan tadi telah menyelesaikan perbalahan berkenaan atas dasar prinsip muafakat dan menghormati perbezaan pendapat.
"Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat bersetuju agar semua keputusan dibuat atas prinsip muafakat.. dan akan terus meraikan perbezaan pendapat antara ketiga-tiga parti.
"Semua dah selesai dalam mesyuarat sebentar tadi," jelas beliau.
Sementara itu, Anwar berkata, mesyuarat Majlis PR yang diadakan tadi itu tidak menyentuh tentang siapa yang akan mengambil tempatnya sekiranya beliau didapati bersalah dan dipenjarakan pada 10 Februari nanti.
"Bagaimanapun kita akan bermesyuarat lagi sejurus selepas keputusan dikeluarkan untuk membincang perkara tersebut," katanya.
Selain itu, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang turut hadir dalam mesyuarat tersebut meskipun tidak hadir pada sidang media yang diakan itu.
Beliau sebelum itu juga telah hadir pada mesyuarat PAS Pusat yang diadakan kira-kira jam 10:00 pagi tadi.
Sebelum itu, Setiausaha PAS Datuk Seri Mustafa Ali turut mengesahkan kehadiran Abdul Hadi pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR berkenaan.
Khamis lalu Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilaporkan sebagai wakil dari partinya hanya akan menyertai mesyuarat Majlis Pimpinan PR sekiranya Abdul Hadi hadi ke mesyuarat tersebut.
Alasan yang diberikan, kerana DAP tidak mahu pemimpin PAS membuat sebarang tindakan yang bercanggah dengan keputusan PR selepas mesyuarat itu.
Sidang media serta mesyuarat majlis pimpinan PR tadi telah diadakan di Ibu Pejabat Agung PAS pada Ahad kira-kira jam 2.30 petang.
Turut hadir pada mesyuarat Majlis Pimpinan PR ialah Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu; Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail; Ketua parlimen DAP, Lim Kit Siang; naib presiden PKR, Shamsul Iskandar Mat Akin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad; Lim Guan Eng dan Mustafa Ali.