PPP cadang tukar nama kepada 'my PPP' - Kayveas

Bernama
Oktober 16, 2015 16:07 MYT
KAYVEAS: Usaha itu bertujuan menyuntik semangat baharu kepada anggotanya sebagai persediaan menghadapi Pilihanraya Umum ke-14. -Gambar fail
Dalam usaha melakukan penjenamaan semula, Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) bercadang menukar nama kepada 'my PPP' dengan PPP membawa maksud Peace (Keamanan), Progressive (Kemajuan) dan Prosperity (Kemakmuran).
Justeru, Presidennya Tan Sri M. Kayveas berkata parti itu akan mengadakan mesyuarat tergempar November ini untuk mendapatkan persetujuan dan sokongan anggota akar umbi bagi penukaran nama serta logo parti itu.
"Setelah mendapat persetujuan ahli parti, pindaan tersebut akan dihantar kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi kelulusan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PPP di ibu pejabat parti di sini, hari ini.
Beliau berkata usaha itu bertujuan menyuntik semangat baharu kepada anggotanya sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14.
Katanya parti juga akan mengadakan mesyuarat agung ke-62 pada 13 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Sementara itu, Kayveas berkata PPP buat julung kalinya akan menganjurkan rumah terbuka Deepavali pada 10 Nov ini di Brickfields, di sini.
Katanya penganjuran rumah terbuka itu berikutan lebih 50 peratus anggota PPP merupakan kaum India.
Ketika diminta mengulas tentang kenaikan kadar tol baru-baru ini, Kayveas yang juga Penasihat Khas kepada Menteri Pengangkutan berkata rakyat tidak seharusnya beremosi, sebaliknya perlu memahami keadaan ekonomi negara dan dunia.
#M.Kayveas #my PPP #Parti Progresif Penduduk Malaysia #peace #Pendaftar Pertubuhan #PPP #progressive #prosperity #ros
;