PPBM Terengganu usaha ubah persepsi pengundi terhadap DAP

Sharom Abu Bakar
Mei 23, 2018 07:35 MYT
Razali (tengah) bersama barisan calon PPBM Terengganu pada 15 April 2018. - BERNAMA
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu akan berusaha mengubah persepsi rakyat terhadap Democratic Action Parti (DAP) yang didakwa anti Melayu dan Islam.
Pengerusi PPBM Terengganu, Datuk Razali Idris, berkata pengundi di Terengganu masih 'dihantui' persepsi 'mengundi Pakatan Harapan (PH) bererti mengundi untuk DAP'.
Menurutnya, pihaknya menerusi Unit Cakna Rakyat akan memberikan penjelasan terhadap tohmahan itu dan parti DAP tidak seperti yang dicanangkan.
"Betul lah kalau undi Pakatan Harapan undi DAP. Tetapi tak semestinya undi DAP, tak masuk syurga. Itu yang difikirkan ramai di sini. Kita tidak harus fikir sebegitu.
"Kita harap kita dapat berikan penjelasan yang cukup kepada rakyat dalam masa lima tahun ini, bagi persediaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang," kata Razali selepas Majlis Iftar PPBM di Kuala Ibai di sini, pada Rabu.
BACA: PPBM mahu tambah ahli di Terengganu
Dalam PRU14, PPBM Terengganu gagal memenangi sebarang kerusi daripada 10 kerusi Dewan Undangan Negeri dan tiga Parlimen yang ditandinginya.
Sementara itu, Razali yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri Terengganu yang dipimpin Pas.
#DAP #kerajaan terengganu #Pakatan Harapan #pengundi Terengganu #PPBM #PPBM Terengganu #PRU15 #Razali Idris
;