PPBM sekadar parti 'Mat Jenin' dalam Pakatan Harapan - Shaiful

Astro Awani
Mac 7, 2018 15:56 MYT
SHAIFUL: PPBM perlu peka bahawa mereka hanyalah 'pemain pinggiran' di dalam medan politik PH. - Gambar fail
Kenyataan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengetuai kerajaan sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hanyalah cakap kosong dan tidak bersandarkan realiti politik semasa.
Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Wan Saiful Wan Jan juga seolah-olah tidak masuk akal apabila bercakap mengenai keperluan PPBM diberikan lesen besar untuk menjadi peneraju dalam agenda politik PH.
Tegasnya, bekas Pengarah Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) itu seperti tidak sedar PPBM hanya berada di dalam PH sebagai pelengkap kuota strategi politik dan tidak lebih daripada itu.
"PH perlukan 'wajah Melayu' di dalam usaha sama politik mereka. PPBM hanya menjadi pengisi kekosongan itu.
"Di atas kertas formula politik PH, PPBM tidak berada sebagai angkubah tunjang. Malahan, PPBM perlu sedar diri, mereka hanya mampu mendapat perhatian di kerusi-kerusi yang memerlukan ihsan politik DAP. Ini tidak akan mampu disangkal oleh mana-mana pihak.
"Sebagai orang baru dalam PH, saya suka nasihatkan Wan Saiful supaya mengurangkan teori dan formula politik serta belajar mendekati rakyat," katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.
BACA: #MalaysiaMemilih: Kalau PH menang, PPBM akan ketuai kerajaan - Wan Saiful
BACA: #MalaysiaMemilih: Maria Chin bertanding sebagai calon PH bukti Bersih 2.0 alat pembangkang - Rizal Mansor
Shaiful mengulas kenyataan Wan Saiful yang menyifatkan PPBM akan memainkan peranan sama seperti mana Umno mengetuai kerajaan dalam Barisan Nasional (BN).
Wan Saiful yang baru menyertai parti serpihan UMNO itu menjelaskan, kehadiran PPBM dalam PH bertujuan untuk menyakinkan pengundi Melayu bahawa agenda Melayu tidak akan dikorbankan oleh gabungan pembangkang jika membentuk kerajaan.
Tegas Shaiful lagi, politik Malaysia tidak memerlukan seorang lagi penganalisis yang syok sendiri.
"Tiada teori politik yang membenarkan sebuah parti kerdil dan komeng menjadi ketua sebuah pakatan besar.
"PPBM perlu peka bahawa mereka hanyalah 'pemain pinggiran' di dalam medan politik PH.
"DAP dan PKR tidak akan membenarkan naratif PPBM menjadi tunjang kepada PH. Lakonan dan sandiwara politik ini tidak akan bertahan lama," ujarnya.
Kata Shaiful lagi, sebaik sahaja kertas undi dikira, PPBM akan tahu betapa mereka hanyalah sekadar di pinggiran percaturan politik lebih besar.
"Wan Saiful perlu berhenti dengan politik angan-angan mat jenin seperti ini. Kita hanya khuatir, pemikir sepertinya akan cepat kecewa dan merajuk apabila mengetahui realiti sebenar yang ada dalam politik," jelasnya.
#Barisan Nasional #DAP #Maria Chin #pilihan raya umum #PKR #PPBM #UMNO
;