PPBM mahu jalin 'pakatan pilihan raya' dengan Pas - Mukhriz
Bernama
Februari 23, 2017 17:42 MYT
Februari 23, 2017 17:42 MYT
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu menjalin 'pakatan pilihan raya' dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Timbalan Presidennya Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata PPBM akan berusaha untuk berunding dengan PAS bagi merintis satu "pakatan pilihan raya".
"Mahu tak mahu kami (PPBM) terpaksa ada (pilih) satu tarikh untuk memuktamadkan adakah kami boleh atau tidak jalin kerjasama dengan PAS walaupun dalam bentuk "electoral pact' (pakatan pilihan raya)", katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mukhriz berada di sini bagi menghadiri program pemukiman PPBM selama empat hari bermula Isnin lepas yang turut dihadiri semua pimpinan tertinggi parti termasuk Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan PAS tetap dengan pendirian tidak akan bekerjasama dengan PPBM selagi ia menjalin hubungan dan bekerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara.
Dalam pada itu, Mukhriz berkata pada PRU14, PPBM akan menumpukan untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu.
-- BERNAMA