PPBM mahu 'jadi UMNO' dalam Pakatan Harapan - Penganalisis

Hans Yusoff
Januari 29, 2018 13:46 MYT
Konvensyen Pakatan Negeri Sembilan kecoh berlaku apabila akar umbi PPBM melahirkan rasa tidak puas hati dengan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang menyaksikan sebilangan ahlinya melaungkan kata-kata protes.
Peranan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam Pakatan Harapan tidak ubah seperti UMNO yang mahu mendominasi gabungan parti-parti politik dalam Barisan Nasional (BN), kata penganalisis politik.
Prof Madya Dr Fuad Othman dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berpandangan, perkara itu mempunyai asas, terutama melihat kepada asal-usul parti yang sebelum ini merupakan serpihan daripada UMNO.
“PPBM ini cuba memainkan peranan sebagai UMNO dalam BN. Kalau kita lihat UMNO ini adalah parti orang Melayu terbesar dan paling banyak kerusi dalam BN. Jadi saya kira PPBM mahu ambil peranan sama dalam Pakatan.
“Selain itu, formula politik tempatan juga memang memerlukan parti yang cenderung Melayu berbanding pakatan pembangkang sebelum ini yang tiada elemen ini. Jadi, PPBM ini adalah alternatif menggantikan BN,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI
Pada Ahad, Konvensyen Pakatan Negeri Sembilan kecoh berlaku apabila akar umbi PPBM melahirkan rasa tidak puas hati dengan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang menyaksikan sebilangan ahlinya melaungkan kata-kata protes.
Konvensyen itu menyaksikan pengagihan 36 kerusi DUN dengan 12 merupakan milik PKR, DAP (11), Parti Amanah Negara (tujuh) dan PPBM (enam).
Manakala kerusi Parlimen pula menyaksikan setiap parti mendapat dua kerusi.
Sementara itu, Penganalisis Politik UKM, Prof Dr Mansor Md Noor pula menyifatkan perebutan kerusi dalam parti politik sebagai perkara biasa terutama membabitkan pakatan baharu.
"Pertembungan perkara biasa dalam mana-mana parti politik terutama bagi pakatan baharu.
“Namun, apa yang penting adalah bagaimana kepimpinan parti-parti politik ini menguruskan konflik yang timbul dengan sebaik mungkin.” katanya.
#Barisan Nasional #Konvensyen Pakatan Harapan #Malaysia #Negeri Sembilan #Pakatan Harapan #politik #PPBM #UMNO
;