PPBM ganti UMNO hanya cakap kosong - Shamsul Anuar

Sinar Harian
Julai 7, 2018 19:28 MYT
Shamsul Anuar mempertahankan komitmen kepimpinan baharu UMNO yang diterajui presidennya Ahmad Zahid. - Gambar fail
Kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti itu bakal menjadi pelindung kepada orang Melayu dan agama Islam hanyalah bertujuan untuk mempengaruhi orang Melayu sahaja.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, hakikatnya kenyataan itu adalah cakap kosong dan tidak boleh dipercayai.
Menurutnya, PPBM jelas tidak mampu untuk mengambil alih peranan UMNO dalam mempertahankan kedudukan dan kepentingan Melayu kerana prinsip dan semangat parti itu sangat berbeza.
"Berdasarkan beberapa kenyataan, tindakan serta polisi baharu, PPBM tidak sedar apa yang dilakukan sejak penubuhannya dan sebaik mengambil alih kerajaan telah meletakkan kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera semakin terhakis dan terancam.
"Hanya mereka yang membuta tuli menyokong beliau (Mahathir) dan PPBM kerana percaya kononnya parti itu akan menjadi pelindung kepada orang Melayu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shamsul Anuar pada masa sama merujuk beberapa perkara yang mendakwa PPBM tidak mampu untuk menggantikan peranan UMNO.
"Kita lihatlah barisan Kabinet Kerajaan Pakatan Harapan yang dilantik Tun Mahathir misalnya Menteri Pelajaran yang memberikan kuota kepada 1,000 pelajar Cina untuk program Matrikulasi dan difahamkan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersekutu (UEC).
"Bukankah ini bukti bahawa PPBM tidak mampu mempertahankan hak Melayu dan Bumiputra. Ini perkara penting kerana pendidikan akan mencorakkan masa depan negara terutama orang Melayu," katanya.
Beliau yang juga ahli Parlimen Lenggong berkata, empat perkara utama yang menjadi perjuangan orang Melayu dan Bumiputera yang dipertahan dan diperkukuhkan oleh UMNO ternyata tidak mampu dipertahankan oleh PPBM.
"Agama Islam sebagai agama persekutuan nampaknya di bawah kerajaan Harapan sukar dijamin kerana awal-awal lagi mereka telah mula persoalkan kedudukan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya.
Pada masa sama beliau turut mempertahankan komitmen kepimpinan baharu UMNO yang diterajui oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Jika beliau menjadikan alasan kononnya Najib sebagai alasan, ia sama sekali tidak boleh diguna pakai kerana dari segi perundangan, ternyata Najib tidak dibuktikan lagi bersalah.
"Komitmen presiden UMNO baharu diyakini mampu mempertahankan kedudukan Melayu, Bumiputera, Islam dan Raja Melayu dan keadaan ini jauh berbeza berbanding PPBM," katanya.
#agama #Ahmad Zahid Hamidi #Bersatu #Bumiputera #cakap kosong #ganti #Islam #kabinet #Melayu #Pakatan Harapan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #PPBM #Shamsul Anuar Nasarah #UMNO
;