PPBM di Perlis disertai mereka yang di atas pagar dan keliru - Shahidan

Bernama
Oktober 8, 2016 07:32 MYT
SHAHIDAN: Saya yakin para pemimpin UMNO negeri sangat jelas mengenai situasi politik hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Perlis disertai oleh penyokong di atas pagar yang goyah dan keliru dengan senario politik negara ketika ini.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis berkata kewujudan parti serpihan itu tidak terkesan atau menggugat kedudukan UMNO di negeri ini, jauh sekali mempengaruhi pendirian kepimpinan utama negeri untuk berpaling tadah.
"Walaupun kita juga ada masalah dalaman parti namun ia perkara biasa dan difahamkan ahli UMNO yang menyertai PPBM di negeri ini hanya melibatkan ahli yang di peringkat akar umbi. Saya yakin para pemimpin UMNO negeri sangat jelas mengenai situasi politik hari ini dan tidak mudah terkeliru sehingga sanggup mengkhianati parti," katanya selepas melawat aktiviti melukis mural sempena Festival Kesenian Peringkat Kebangsaan di sini, pada Sabtu.
Shahidan berkata demikian sebagai mengulas berkenaan pelantikan bekas pemimpin UMNO Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai Setiausaha Agung PPBM.
Shahidan berkata beliau yakin parti serpihan yang wujud atas dasar kekecewaan itu (PPBM) tidak mampu menandingi Barisan Nasional (BN) yang mempunyai kubu kuat di Perlis.
"Saya yakin BN akan dapat pertahankan 100 peratus kemenangan di Perlis dan memastikan supaya dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya ditawan semula dari pembangkang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang," katanya.
Pada masa sama Shahidan mengingatkan pemimpin dan anggota UMNO untuk meletakkan disiplin mereka pada tahap tertinggi, sayang dan cintakan satu-satunya parti, iaitu UMNO yang terbukti memperjuangkan bangsa, agama sehingga mampu meletakkan negara pada tahap yang kukuh.
#Barisan Nasional. #berita politik #PPBM #Shahidan Kassim #UMNO
;