PPBM berunding, pastikan tiada pertindihan kerusi
Nazialita Geynna Maharan
Jun 15, 2017 09:13 MYT
Jun 15, 2017 09:13 MYT
Persatuan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah melaksanakan rundingan bersama parti pembangkang lain di dalam Pakatan Harapan untuk memastikan tiada sebarang pertindihan kerusi menjelang pilihan raya akan datang.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata perancangan awal itu perlu dilakukan untuk memastikan konsep satu lawan satu dalam merebut kerusi di setiap kawasan menjadi asas ketika menentang Barisan Nasional kelak.
Katanya, perkara itu dipersetujui oleh seluruh ahli PPBM agar tidak berlaku perlawanan kerusi bersama dengan calon rakan mereka di pihak Pakatan Harapan.
"Proses rundingan telah dimulakan namun kami berhajat agar ianya disegerakan supaya pemimpin kami (PPBM) di peringkat kawasan dan negeri dapat mengetahui samada calon parti lain telah bertanding di situ atau tidak,"katanya kepada pemberita pada Majlis Moh Buka Puasa PPBM Peeak di Masjid Gufran, Kampung Manjoi di sini pada Rabu.
Muhyiddin berkata, buat masa ini pihaknya masih belum mengetahui jumlah kerusi yang ingin disasarkan namun kawasan tumpuan telahpun dikenal pasti.
"Antara sasaran kita adalah kerusi yang kalah sewaktu Pilihan Raya 2013 lepas yang dimenangi oleh UMNO, kami yakin sekiranya kami diberikan peluang kami pasti boleh memenangi kerusi.
"Kini, dengan tertubuhnya PPBM kami yakin kami boleh menembusi kawasan yang majoriti Melayu kerana sebelum ini kawasan itu memilih UMNO tapi kami percaya kerusi kawasan itu boleh dimenangi oleh kami," ujarnya lagi.
Menurut beliau, ada antara kubu kuat yang pernah dimenangi oleh pihak UMNO kini dilihat semakin lemah dan pihaknya mengambil kesempatan untuk membuka cawangan PPBM di kawasan tersebut.
Muhyiddin berkata buat masa ini kerjasama daripada kesemua ahli Pakatan Harapan adalah amat penting dan sebarang pertembungan bagi bertanding kerusi menjelang pilihan raya wajar dielakkan.
"Dengan kerjasama erat daripada DAP dan PKR serta Bersatu, saya yakin kita ada peluang tebus kesemua kerusi yang disasarkan.
"Untuk PAS, kita kena menerima hakikat sekiranya mereka ingin bertanding biar tiga penjuru di sebuah kawasan, tapi dengan adanya parti-parti lain bersama kita (PPBM) kita masih boleh memenanginya," katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengiktirik pelaksanaan cukai pelancongan yang dipercayai akan membebankan rakyat di seluruh negara khususnya kemasukan wang pelancongan dalam negeri.
Mantan Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tindakan mengenakan cukai itu adalah bukti jelas kepicikan kewangan kerajaan persekutuan walaupun pihak kerajaan menafikan perlaksanaan itu akan membebankan rakyat.
"Nazri, langsung tidak mengambil kira soal masalah rakyat, kita kena membuat keputusan itu secara berunding bersama-sama.
"Dia(Nazri) fikir ini urusan kerajaan persekutuan kita boleh buat sesuka hati kita, saya tahu sebab saya pernah berada dalam kerajaan jadi saya tahu pasti reaksinya tidak baik," ujarnya lagi.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang juga Menteri Pelancongan berkata perlaksanaan cukai antara RM2.50 dan RM20 akan tetap diteruskan mulai 1 Julai ini di hotel dan rumah penginapan berdaftar.
#Barisan Nasional
#calon
#kerajaan
#kerusi
#Malaysia
#Muhyiddin Yassin
#pembangkang
#pilihan raya
#politik
#PPBM
#rakyat