PPBM Batu Gajah berkubur

Shafiq Noordin
November 14, 2017 18:49 MYT
Mohd Shirin membuat sidang media mengumumkan pembubaran PPBM Bahagian Batu Gajah. - Astro AWANI.
Selepas tiga kawasan membubarkan bahagian masing-masing, kini giliran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Batu Gajah untuk berbuat demikian.
Majlis pembubaran itu dilakukan Ketua Penaja bahagiannya, ahli jawatankuasa dan lebih 1,000 ahli sekali gus mengumumkan keluar parti baharu itu.
Ketua Penaja bahagia itu, Mohd Shirin Adenan berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya kecewa dengan pelantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai Pengerusi PPBM Perak yang didakwa 'orang kuat' Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurut beliau, pihaknya tidak berpuas hati dengan kepemimpinan tertinggi PPBM negeri ketika ini yang dilihat lemah, tidak pandai menjaga kebajikan ketua penaja bahagian serta ahli akar umbi.
"Malah pelantikan Ahmad Faizal sebagai Pengerusi PPBM Perak semata-mata kerana dia merupakan orang Mukhriz (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) benar-benar membuka mata kami bahawa parti ini sebenarnya tidak setelus seperti yang diharapkan.
"Selain itu, beliau (Ahmad Faizal) tidak mempunyai pengalaman untuk menerajui sebuah parti baharu selain hubungannya sangat terbatas hingga membuatkan PPBM Perak tidak ubah seperti sekumpulan anak ayam kehilangan ibu.
"Kami tidak yakin beliau mampu menerajui Pakatan Harapan Perak dan bingung mengapa pemimpin-pemimpin lain yang lebih berpengalaman tidak dipilih," katanya pada sidang media khas di Batu Gajah pada Selasa.
Beliau menambah, selain isu kepimpinan, kegagalan PPBM mengesahkan status pendaftaran armada sebagai sayap parti turut menjadi penyebab tindakan itu (keluar parti) dilakukan.
Mohd shirin menjadi Ketua Penaja Bahagian PPBM keempat di Perak yang meninggal parti itu selepas Gopeng, Parit dan Kuala Kangsar.
#Ahmad Faizal Azumu #Batu Gajah #bubar #Ketua Penaja bahagian #Kuala Kangsar #Mahathir Mohamad #Mohd Shirin Adenan #Mukhriz Mahathir #Pakatan Harapan #PPBM #PPBM Perak
;