PPBM anggap keputusan GKCM atas dasar kecewa
Raja Hisyam Raja Zaid
April 5, 2017 16:38 MYT
April 5, 2017 16:38 MYT
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menganggap keputusan Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) untuk tidak lagi menyokong kepimpinan pusat parti itu adalah berikutan rasa kecewa segelintir pihak.
Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebahagian besar ahli GKCM telah pun mendapat tempat dalam PPBM dan memegang beberapa jawatan dalam parti.
“Tak apalah. Dalam politik, ada orang suka, ada orang tak suka. Bagi kami, itu adalah satu cabaran.
"Walaupun kenyataan yang saya baca itu keluar daripada hanya satu kumpulan yang agak kecil, yang saya tahu, sebahagian besar daripada mereka yang menggerakkan GKCM ini sudah berada dalam PPBM kita,” katanya pada satu sidang media di ibu pejabat PPBM hari ini.
Muhyiddin bagaimanapun menganggap ia sebahagian daripada cabaran dan pihaknya bersedia untuk berbincang dengan GKCM bagi menjelaskan hala tuju politik PPBM ketika ini.
Isnin lalu GKCM memutuskan untuk tidak lagi menyokong kepimpinan pusat PPBM menerusi Timbalan Presidennya Datuk Mohd Zin Mustafa.
Keputusan itu dibuat, katanya, berdasarkan beberapa punca permasalahan dalam PPBM, termasuk dakwaan bahawa pemimpin tertinggi parti itu mengamalkan kronisme dengan melantik di kalangan rakan mereka membarisi tampuk kepimpinan tertinggi.
Muhyiddin pada sidang media hari ini menafikan PPBM mengamalkan kronisme seperti didakwa.
Mohd Zin dalam kenyataannya turut menyatakan GKCM beranggapan PPBM tidak berjaya menepati citarasa politik generasi masa kini.